[VIDEO] Kukuhkan benteng Gergasi Merah, Nidzam Jamil yakin Niko Jambor boleh beri 'real fight'


  • Podium
  • Selasa, 01 Okt 2024

Pengalaman Jambor beraksi sekitar Eropah diharapkan dapat membawa skuad Gergasi Merah ke tahap lebih tinggi. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC terus rancak membawa masuk pemain bagi memantapkan pasukan dengan mengumumkan seorang lagi import untuk mengharungi saingan musim 2024/2025.

Berita baik itu dikongsikan oleh naib juara Piala FA 2024 di laman Facebook yang secara rasminya mengesahkan pemain tengah dari Croatia, Nikola Jambor sebagai wajah baharu skuad kendalian Nidzam Jamil itu.

Kehadiran pemain berketinggian 1.90 meter yang pernah beraksi bersama kelab Portugal, Rio Ave FC dijangka mampu memberikan kesan positif kepada Gergasi Merah dalam menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim ini.

BACA LAGI: 'Berjaya tewaskan Shanghai bermakna JDT sedia jadi pencabar', Jordi Amat waspada 'set piece', ketinggian lawan

BACA LAGI: VAR negara di landasan terbaik standard FIFA, bakal latih 3 pengadil wanita — FAM

Jambor yang berusia 29 tahun itu merupakan import terakhir Gergasi Merah selepas sebelum ini sudah merekrut pemain Jordan, Ali Olwan, Mohammad Abualnadi dan bekas penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz.

Jurulatih Selangor FC, Nidzam yakin bahawa Jambor akan menggalakkan persaingan sihat dalam pasukan, terutama dengan kehadiran fizikalnya di bahagian tengah yang hebat dalam perebutan bola di udara, terjahan dan memintas.

“Tiada siapa yang boleh berehat dengan tenang. Jambor mampu memberikan real fight (cabaran sebenar) di bahagian tengah.

“Perlawanan ini akan memberi impak positif kepada pasukan, terutamanya ketika kita bersaing di peringkat Asia dan liga Malaysia,” kata Nidzam.

Sementara itu, Jambor atau mesra dengan panggilan Niko itu mendedahkan bahawa dia tidak ragu-ragu untuk menerima tawaran daripada Selangor.

“Selangor menarik perhatian saya kerana rancangan terperinci mereka dan saya merasakan objektif mereka selari dengan misi saya.

“Saya rasa seperti di laman sendiri. Kami perlu bekerjasama untuk mencapai rancangan yang ditetapkan oleh kelab," kata Jambor, yang pernah beraksi untuk kelab Divisyen Dua Saudi, Hajer.

Difahamkan, Jambor akan membuat penampilan sulungnya bersama Selangor bertemu Cebu FC dalam Kumpulan H saingan ACL2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Khamis.

Bukan itu sahaja, Niko juga dijangka turun beraksi bertemu PDRM FC dalam saingan Liga Super 2024 pada 19 Oktober nanti. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram