Disebut mahu sertai kelab besar seperti Selangor, Haqimi diingat perbaiki prestasi dulu


  • Podium
  • Selasa, 28 Jan 2025

Pulangan Haqimi di peringkat kelab buat skuad Warga Kota kebelakangan ini tidak memuaskan.

SEMASA mencipta debut buat Kuala Lumpur (KL) City FC kira-kira tiga tahun lalu, Haqimi Azim Rosli pernah diangkat sebagai prospek terhangat arena bola sepak tanah air.

Fizikalnya yang sasa dan tinggi membawa tawaran hebat buat masa depan negara, lebih-lebih lagi kerana pemain itu boleh beraksi dalam beberapa posisi berbeza dalam barisan serangan.

Namun, ketika ini, penyerang berusia 22 tahun itu tidak ubah daripada mana-mana pemain muda yang tidak menepati ramalan ramai apabila aksinya acap kali kurang memuaskan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Maaf Malaysia', Haqimi Azim beri bayangan Harimau Malaya akan bangkit

BACA LAGI: Haqimi Azim tunjuk sengat, cetak gol tunggal buat KL City tewaskan Kaya FC Iloilo

1906545

Impak Haqimi buat Harimau Malaya kebelakangan ini kurang memuaskan.

Bukti terbaik mengenai kekecewaan penyokong terhadapnya adalah ketika tonggak skuad Warga Kota itu dipanggil ketika saingan Piala AFF apabila dia tidak mencetak sebarang jaringan.

Tidak cukup dengan itu, kebolehan Haqimi di atas padang turut dipersoalkan kerana dalam 62 penampilan buat KL City FC sejak 2022, dia hanya menjaringkan tujuh gol dan empat bantuan jaringan.

Pulangan kurang memuaskan terbabit sekali gus menyebabkan orang ramai mula meragui masa depan pemain kelahiran Gombak, Selangor itu meskipun dia baru sahaja mencipta debut kurang dari lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tohmahan dilontarkan kepada pemain terbabit tidak mematahkan semangatnya kerana baru-baru ini, dia tampil menanam harapan untuk beraksi di kelab gergasi Liga Super.

Menurutnya, sekiranya peluang diberikan mana-mana pasukan, Haqimi akan memanfaatkan peluang terbabit demi mengasah kebolehan dalam sukan yang amat diminati sejak kecil dahulu.

WhatsApp Image 2025-01-28 at 5.43.32 PM

Selangor FC merupakan destinasi relevan buat Haqimi Azim musim depan. Facebook/Selangor FC

Walaupun tidak menyatakan kelab yang diminatinya, ramai beranggapan destinasi terbaik buat penyerang itu ialah Selangor FC yang mudah tidak akan membebankannya secara peribadi.

Namun, harapan sahaja tidak cukup untuk Haqimi menambat hati skuad Gergasi Merah kerana mereka akan membuat penilaian di atas padang sebelum membuat sebarang tawaran.

"Perbaiki segala pekara atas kebolehan diri kerana tahap diri cuma di tahap 60 peratas ketika ini. Pemain yang bagus bukan terletak pada tubuh yang bagus. Perlu ada 100 kepada 150 peratus dalam segala kebolehan sebagai pemain bola sepak untuk negeri. Itulah kunci utama sebagai pemain bola sepak," kata Wai Yaacob.

"Dia perlu buktikan terlebih dahulu prestasi bersama KL City FC. Jika lihat kepada prestasi sekarang, seperti susah baginya untuk ke kelab yang lebih besar," kata Mazda Pride.

"Maaf katakanya, dia ni agak malas, kurang kreatif dan tindakan balas perlahan. Kalau dapat atasi hal itu, baru boleh ke kelab lebih besar. Kalau tak, kekal sahaja bersama KL City FC," kata Nvc Azarri.

Haqimi sebelum ini dilaporkan terbuka untuk meninggalkan skuad Warga Kota kerana tidak lagi sanggup untuk menempuhi masalah kewangan dialami kelab Lembah Klang terbabit.

Bagaimanapun, pemain skuad B-23 negara itu kemudian mengambil keputusan untuk kekal bersama KL City FC musim ini, namun keputusan tersebut belum membuahkan hasil terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram