Rexy Mainaky 'hentam' pemain perseorangan wanita, anggap keluhan tak bantu capai cita-cita


  • Podium
  • Ahad, 12 Jan 2025

Rexy tidak berselindung apabila diminta mengulas mengenai situasi dan prestasi semasa pemain perseorangan wanita ketika ini.

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky tidak berselindung dalam membuat ulasan mengenai skuad badminton perseorangan wanita negara yang kelihatan merudum bertahun-tahun lamanya.

Menurutnya, pemain yang beraksi dalam kategori itu kerap memberikan alasan dan merungut sehingga menyebabkan mereka tidak menunjukkan sebarang peningkatan untuk menjadi bintang berkelas dunia.

Malah, berdasarkan luahan dibuat jurulatih berusia 56 tahun itu, ada pemain yang merungut kepenatan ketika menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Tewas awal di Kumamoto Masters, Rexy ingatkan jangan perkecil kualiti Aaron-Wooi Yik

BACA LAGI: Zii Jia ketuai senarai penuh skuad Piala Thomas, Rexy yakin semangat pasukan negara

WhatsApp Image 2025-01-12 at 5.47.03 PM

Jin Wei merupakan antara pemain perseorangan wanita ketika ini.

"Mereka kerap membuat rungutan dan kata mengalami keletihan. Namun, kita kena sedar bahawa mereka tidak akan mencapai apa-apa sekiranya terus merungut sedemikian.

"Anda perlu tahu kenapa anda perlu terus berjuang dan cuba mencapai cita-cita. Tetapi, apa yang anda lakukan? Berlatih sedikit dan sudah merungut sakit," katanya semasa Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

Jelasnya lagi, sekiranya pemain-pemain itu bersikap sedemikian ketika beraksi buat gergasi badminton dunia seperti China, Indonesia atau Jepun, mereka akan ditendang daripada pasukan.

Rexy turut menyeru pemain badminton negara untuk mengulangi pencapaian prospek Thailand, Pornpicha Choeikeewong yang mencipta kejutan dalam Terbuka Malaysia apabila menyingkirkan pemain nombor lima dunia, Han Yue di pusingan suku akhir.

Wong-Mew-Choo-

Mew Choo merupakan antara pemain terbaik untuk dicontohi dalam kategori perseorangan wanita.

Bintang berusia 21 tahun tersebut menunjukkan peningkatan ketara memandangkan sebelum ini, dia berada jauh di belakang dua pemain perempuan negara, Wong Ling Ching dan K Letshanaa yang tidak beraksi dalam Terbuka Malaysia tahun ini.

Rexy juga berharap pemain hari ini dapat mengambil inspirasi daripada bekas jaguh perseorangan wanita, Wong Mew Choo apabila menjadi satu-satunya wakil negara yang pernah muncul juara dalam Terbuka China pada 2007.

"Bagaimanapun, saya tidaklah katakan pemain perseorangan wanita hari ini tidak berkualiti. Mereka perlu sanggup membuat pengorbanan untuk mencapai cita-cita sendiri," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram