SAINGAN Terbuka Malaysia bagi edisi 2025 dilihat mengecewakan dari sudut persembahan pemain-pemain utama negara.
Salah satunya adalah gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas di pusingan kedua selepas tumbang kepada beregu Chinese Taipei, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen pada Khamis.
Persembahan mereka dilihat terumbang-ambing sejak meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik 2024. Malah, terdapat cadangan untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) agar memisahkan mereka dan mencipta gandingan baharu. Adakah cadangan itu wajar?
BACA LAGI: 'Kejohanan Super 1000 ni', insiden bumbung bocor Axiata Arena buatkan Malaysia jadi 'tumpuan' dunia
BACA LAGI: Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan ke-2, anggap perlu tambah baik persembahan
Permainan sudah dijangka
Salah satu sebab mengapa gandingan tersebut wajar dipisahkan adalah kerana corak permainan mereka dilihat semakin sudah diduga oleh pihak lawan.
Pasca Sukan Olimpik, prestasi Aaron-Wooi Yik terumbang-ambing dengan mereka cuma berjaya membawa satu kejuaraan iaitu Korea Masters pada November.
Selain daripada itu, mereka terkandas di pusingan kedua (Terbuka Artic, Japan Masters) dan suku akhir (Terbuka Denmark, China Masters) serta terkeluar dari peringkat kumpulan pada Jelajah Dunia Akhir.
Prestasi Aaron-Wooi Yik tidak menentu sejak Sukan Olimpik 2024. — BAM
Ia melihatkan yang pihak lawan sudah mula memahami corak permainan mereka. Ditambah dengan isu kecederaan, ia semakin menyukarkan Aaron-Wooi Yik untuk tampil konsisten.
Jika pertukaran pasangan dilakukan, ia mampu mewujudkan gandingan dengan idea lebih segar dan bertenaga untuk mencabar kejuaraan.
Dengan Aaron dan Woo Yik masih di bawah BAM, jadi persatuan itu tiada masalah untuk mix and match gandingan beregu mereka.
Mula awal, demi Sukan Olimpik
Tindakan untuk memisahkan kedua-dua pasangan beregu tersebut dilihat wajar sekiranya BAM mengidamkan kejayaan jangka masa panjang.
Dengan berbaki tiga tahun sebelum Sukan Olimpik seterusnya, jika BAM mahu memecahkan gandingan tersebut, mereka boleh melakukannya sekarang supaya persiapan rapi boleh dilakukan.
Jika mahu dipisahkan, BAM harus lakukannya sekarang. — BAM
Jika bermula awal, BAM boleh mengesan kekuatan dan kelemahan gandingan baharu serta mencipta corak permainan ampuh yang boleh menghasilkan kejayaan sekali gus membawa pulang pingat emas.
Negara-negara lain turut melakukan persiapan awal demi memburu pingat di Sukan Olimpik dan BAM harus bertindak serupa.
Tapi, peluang masih boleh diberikan
Setuju atau tidak, gandingan Aaron-Wooi Yik merupakan antara beregu lelaki terbaik Malaysia miliki sekarang selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.
Oleh itu, peluang kedua boleh diberikan kepada Aaron-Wooi Yik untuk buktikan kemampuan apabila jurulatih baharu bagi skuad beregu negara tiba.
Tan Bin Shen meninggalkan BAM. — The Star/SAMUEL ONG
Dengan Tan Bin Shen akan meninggalkan posisi tersebut, kemasukan jurulatih baharu yang masih belum dinamakan boleh dijadikan ruang untuk Aaron-Wooi Yik mencuri perhatian mereka.
Sudah pasti, jurulatih baharu akan datang bersama strategi dan pendekatannya. Dan untuk Aaron-Wooi Yik, pastinya sudah ada perancangan untuk mereka. Sama ada kekal bersama atau dipisahkan, kita hanya perlu menanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram