JURULATIH perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen memberi jaminan akan menumpukan segala usahanya bagi membangunkan semua pemain di bawah jagaannya.
Dia mempunyai tugas mencabar untuk menghasilkan barisan pemain perseorangan yang berkualiti dan mampu mengharumkan nama negara di peringkat dunia.
Ketika ini, pemain terbaik yang dimilikinya adalah Leong Jun Hao. Namun begitu, Jonassen mahu memastikan rakan-rakan seperjuangan Jun Hao akan turut meningkat prestasinya.
BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang
BACA LAGI: Bulu tangkis plastik boleh 'bunuh' peluang pemain jadi bintang badminton
Jonassen (kiri) mahu berikan fokus sama rata kepada semua pemain perseorangannya. — BAM
"Saya percaya, pemain handalan akan menerima tumpuan lebih tapi kunci kepada idea saya adalah untuk fokus tentang bagaimana seseorang pemain itu boleh beraksi di peringkat tersebut.
"Pendekatan tersebut akan digunakan kepada semua pemain, saya percaya ia adalah keperluan walaupun untuk pemain yang lebih muda yang tidak bertanding di sini (Terbuka Malaysia) untuk memahami kelajuan permainan, permintaan fizikal dan kepentingan membuat keputusan yang betul," kata Jonassen.
Mengikut rekod, hanya Jun Hao pemain perseorangan lelaki yang beraksi di Terbuka Malaysia yang merupakan pertandingan kategori Super 1000 dalam Jelajah Dunia BWF.
Selain Jun Hao, Jonassen mempunyai Ng Tze Yong, Justin Hoh, dan Eogene Ewe yang berlatih di Akademi Badminton Malaysia.
Bagi jurulatih dari Denmark itu, dia sedar pendekatannya memerlukan masa tetapi Jonassen akan menggunakan segala pengalamannya untuk memastikan ia berjaya.
"Apabila saya mula melaksanakan idea dan visi saya, terutamanya untuk pemain perseorangan lelaki utama, ia akan melibatkan latihan berintensiti tinggi, pantas membalas pukulan bulu tangkis dan butiran-butiran lain.
"Perkara ini akan mengambil masa, tapi dengan pengalaman dan kefahaman hasil bekerjasama dengan pemain perseorangan lelaki utama Malaysia, saya percaya ia akan membuahkan hasil sedikit demi sedikit," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram