NAMA Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila Axiata Arena, Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF musim 2025 menerusi penganjuran Terbuka Malaysia.
Kejohanan yang bermula sejak Selasa itu mencuri tumpuan kerana ramai pemain berkelas dunia turun beraksi ditambah dengan prestij pertandingan yang dikategorikan sebagai Super 1000.
Namun begitu, prestij Terbuka Malaysia dilihat tercalar selepas berlakunya insiden bumbung bocor yang menganggu perjalanan pertandingan.
BACA LAGI: Bumbung bocor, aksi Terbuka Malaysia tertangguh seketika
BACA LAGI: Bumbung Axiata bocor lagi, Naraoka terpaksa 'ambil nafas' sebelum tundukkan Popov
Kejadian bumbung bocor itu disebabkan oleh air hujan dan ia kemudiannya jatuh menitik ke kawasan gelanggang 2 dan 3 di stadium tertutup tersebut.
Apa yang terjadi jelas mengundang rasa malu buat penyokong negara kepada komuniti badminton seluruh dunia. Di saat seluruh dunia sedang memerhatikan aksi hebat di gelanggang, mereka turut 'disajikan' dengan insiden luar jangka seperti bumbung bocor tersebut.
"(Kejohanan) Super 1000 ni, aduh satu kemaluan buat Malaysia," kata penyokong bernama Engku Aziz.
"Memalukan nama Malaysia, dahlah kejohanan Super 1000. Tempoh hari masa Malaysia Masters, karpet gelanggang terkoyak sikit pun satu dunia highlight. Ini bocor pula, aduhai rosak nama Malaysia," ujar Siti Nazurah.
Insiden tersebut mendapat maklum balas daripada pengurus stadium iaitu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). Menurut PSM, Axiata Arena sedang menjalani proses penggantian bumbung yang sudah digunakan sejak 1998.
Tambah PSM lagi, proses menggantikan bumbung itu mengambil masa selama setahun dengan mereka meneruskan penganjuran pelbagai acara seperti biasa.
"Proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR dan ia mengambil masa selama setahun melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara.
"Sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sejak kejadian itu berlaku, PSM memastikan kontraktor yang bertanggungjawab sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan perkara serupa tidak berlaku lagi.
"PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 kakitangan untuk bersedia selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden ini tidak lagi berulang,
"PSM telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan.
"Pihak PSM juga telah mengadakan mesyuarat dengan JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember lalu dan menekankan kepentingan acara tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung ini dan memberi jaminan bahawa pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya," ujar PSM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram