Tewas awal di Kumamoto Masters, Rexy ingatkan jangan perkecil kualiti Aaron-Wooi Yik


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Gandingan beregu negara itu kalah mengejut di Kumamoto Masters kepada pasangan Chinese Taipei.

PELUANG bagi pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember dilihat semakin tipis selepas pulang awal dari Kumamoto Masters di Jepun.

Mereka tiada pilihan lain selain mara sehingga ke perlawanan akhir China Masters bagi melayakkan diri ke kejohanan penutup musim itu.

Kepulangan awal Aaron-Wooi Yik di Jepun itu mengundang kritikan sesetengah pihak tetapi bagi pengarah kejurulatihan negara, Rexy Mainaky, kebolehan pasangan beregu itu tidak boleh dipersoal.

BACA LAGI: Sze Fei-Izzudin tewas dalam 'perang saudara', Aaron-Wooi Yik tumbang awal di Kumamoto Masters

BACA LAGI: Leong Jun Hao terus bergaya, mara ke separuh akhir Kumamoto Masters tumbangkan wakil tuan rumah

466636274_18276381322218462_3151721273526393874_n

Aaron-Wooi Yik pulang awal di Kumamoto Masters.

Kekalahan mereka kepada pasangan Chinese Taipei, Chiu Hsiang Hieh-Wang Chi Lin yang berada di ranking ke-59 dunia tidak perlu dianggap sebagai isu besar kerana Kumamoto Masters menyaksikan banyak kejutan berlaku.

"Kita saksikan banyak kejutan berlaku di Kumamoto Masters, jadi jangan perbesarkan isu. Kita sudah mempunyai pemain, jadi sekarang terserah kepada pemain untuk memberikan yang terbaik di gelanggang.

"Ia bukan disebabkan ranking Aaron-Wooi Yik lebih tinggi jadi mereka tak boleh kalah kepada mereka. Kita mesti mencari punca kekalahan dan jurulatih Tan Bin Shen lebih mengetahui kerana dia bersama pemain di Jepun," ujarnya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keenam dunia pernah menewaskan Hsiang Hieh-Chi Lin di separuh akhir Korea Masters sebelum bergelar juara kejohanan tersebut.

Pasangan beregu utama negara itu tersingkir di pusingan kedua bersama-sama Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang turut mengalami nasib serupa.

Namun begitu, walaupun tumpas awal, tetapi Sze Fei-Izzuddin sudah berjaya mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir apabila mengutip mata kelayakan yang mencukupi.

Perebutan untuk satu lagi slot bagi Malaysia untuk ke kejohanan penutup musim itu direbut oleh Aaron-Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram