Sarung jersi skuad Jang 'hint' Akhyar tak kekal bersama Terengganu


  • Podium
  • Rabu, 11 Dis 2024

Akhyar menjadi watak utama skuad Sang Penyu di peringkat domestik dan Asia musim ini. — Facebook/Terengganu FC

KEPUTUSAN Akhyar Rashid meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menyertai Terengganu FC secara pinjaman membuahkan hasil seperti mana diharapkan pemain kebangsaan itu.

Selepas terlalu kerap disisihkan daripada skuad Harimau Selatan, penyerang sayap itu seperti bernafas semula sepanjang kira-kira semusim di kelab Pantai Timur berkenaan.

Ini kerana dia sudah merekodkan 21 penampilan secara keseluruhan buat Terengganu FC, termasuk dua daripadanya dalam kempen Piala Shopee yang membuktikan nilainya dalam pasukan terus dihargai.

BACA LAGI: [VIDEO] Skrip berbeza Akhyar Rashid, dikecam tukar tiki-taka jadi 'teka-teki' berbanding pujian melangit Ariff Aiman

BACA LAGI: Di saat Akhyar-Safawi jadi sandaran Terengganu, ramai harap Selangor turunkan bintang kian dilupakan

2275504

Akhyar kerap disisihkan sepanjang beberapa musim bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Malah, sepanjang diturunkan, Akhyar berjaya mencetak lima gol dan satu bantuan jaringan yang mengukuhkan lagi statusnya sebagai tonggak skuad Sang Penyu.

Sumbangan itu membuatkan penyokong berharap pihak pengurusan dapat mengekalkan khidmatnya musim depan dalam misi mereka menjadi pasukan Liga Super yang digeruni.

Bagaimanapun, harapan tersebut seperti terpadam apabila pada Selasa, Akhyar memuat naik sekeping foto di Instastory peribadinya dengan dia kelihatan mengenakan jersi Negeri Sembilan FC.

Meskipun tidak menyertakan sebarang kapsyen, pemain berusia 25 tahun terbabit seakan-akan memberi bayangan bahawa kelab tersebut akan menjadi destinasinya musim depan.

WhatsApp Image 2024-12-11 at 10.12.46 AM

Akhyar kelihatan mengenakan jersi skuad Jang ketika mengadakan sesi latihan peribadi.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada penyerang sayap terbabit hanya menyarung jersi skuad Jang untuk mengadakan sesi latihan peribadi atau ia mempunyai mesej tersendiri.

Perkara berkenaan sedikit sebanyak melukakan hati penyokong Terengganu FC yang terus mengharapkannya kekal di Pantai Timur musim depan bersama seorang lagi pemain simpanan JDT, Safawi Rasid.

Kehadirannya sememangnya diharapkan penyokong Negeri Sembilan FC yang mempunyai masalah besar dalam aspek serangan kerana mereka hanya menjaringkan 13 gol daripada 14 perlawanan.

Catatan rendah itu meletakkan mereka di kedudukan tercorot Liga Super dengan harapan tipis bagi pasukan itu memperbaiki kedudukan memasuki separuh kedua musim.

Jadi, khidmat dan pengalaman Akhyar sememangnya diperlukan seperti mana dapat disaksikan bersama Terengganu FC musim ini selain selama beberapa tahun dia beraksi buat JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram