SEKIRANYA hendak dibandingkan dengan musim lalu, Perak FC sudah menunjukkan peningkatan cukup memuaskan sepanjang kempen ini, terutamanya dalam kempen Liga Super.
Mereka yang berada di kedudukan keenam sudah mencatatkan lima kemenangan daripada 15 perlawanan dengan hanya satu lagi keputusan sebegitu diperlukan untuk menyaingi rekod sebelum ini.
Dari segi kutipan mata pula, skuad The Bos Gaurus (TBG) berjaya mengumpul 18 mata setakat ini untuk meletakkan mereka di tangga keenam dengan hanya perbezaan jaringan menghalang pasukan itu daripada menembusi kelompok lima teratas.
BACA LAGI: Perak FC kurang ‘umph’ tapi Yusri Che Lah tidak takut ketengahkan pemain muda
BACA LAGI: Lucho hampir segala-galanya buat Perak FC pada pandangan Yusri Che Lah
Skuad TBG sudah menunjukkan peningkatan, namun belum cukup memuaskan. — Facebook/Perak FC
Ini merupakan satu kelegaan buat penyokong kelab Utara tanah air berkenaan memandangkan mereka amat bergelut sepanjang musim lalu selepas baru sahaja 'dinaik pangkat' dari Liga Perdana.
Bagaimanapun, kedudukan itu sepatutnya boleh ditambah baik kerana sepanjang kempen Liga Super 2024/25, anak-anak buah Yusri Che Lah kerap mencicirkan mata pada minit-minit akhir permainan.
Masalah itu dapat disaksikan dalam tiga aksi liga setakat ini yang menyaksikan Perak FC gagal meraih mata penuh selepas dibolosi pada masa tambahan dengan ia sesuatu hal amat merugikan.
1. Perak vs PDRM FC
Permulaan musim sedikit mengecewakan dialami skuad TBG apabila mereka hanya meraih satu kemenangan dalam lima perlawanan pertama dengan prestasi buruk tersebut meletakkan pasukan itu dalam kedudukan menggusarkan.
Bagaimanapun, rentetan keputusan tidak memuaskan itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya mereka lebih kukuh dari segi pertahanan, terutamanya ketika menerima kunjungan PDRM FC pada 18 Mei.
Dalam aksi tersebut, gol Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-87 membawa kelegaan apabila ia memberi peluang buat tuan rumah meraih mata pertama dalam kempen Liga Super.
Skuad TBG berputih mata ketika menerima kunjungan PDRM FC. — Facebook/Perak FC
Lebih menggembirakan lagi, perlawanan itu hampir berpihak kepada Perak FC kerana pengadil memberikan sepakan penalti, namun ditarik semula selepas semakan dibuat menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR).
Tetapi, malang akhirnya melanda apabila kealpaan benteng pertahanan menghukum mereka setelah penyerang pasukan pelawat, Ifedayo Olusegun meledak gol kedua peribadi pada minit ke-12 masa tambahan untuk meletakkan kedudukan 3-2 berpihak kepada skuad Sang Saka Biru.
Jaringan tersebut jelas perit untuk ditelan apabila pengadil meniupkan wisel perlawanan, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Yusri mengalami kekalahan kedua daripada dua aksi pertama mereka.
2. Perak vs Terengganu FC
Perpindahan skuad TBG dari Stadium Perak ke Stadium Manjung menyebabkan nasib pasukan itu sedikit berubah kerana sepanjang berada di 'rumah' keramat tersebut, mereka meraih beberapa keputusan positif, termasuk tiga kemenangan Liga Super berturut-turut.
Bagaimanapun, sejak berpindah, pasukan Utara tanah air tersebut jelas bergelut kerana mereka perlu menunggu sehingga Sabtu lalu untuk meraih kemenangan pertama, namun ia bukan direkodkan dalam saingan liga.
Mereka sepatutnya sudah menikmati tiga mata pertama dalam Liga Super ketika menerima kunjungan Terengganu FC dalam aksi kedua di venue tersebut, tetapi kesilapan benteng pertahanan membuatkan misi itu tidak tercapai.
Peluang tidak disempurnakan membawa padah buat skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Kesilapan Shivan Pillay pada minit-minit akhir menyaksikan pengadil memberikan sepakan penalti pada masa kecederaan dengan tendangan itu disempurnakan Nik Sharif Haseefy.
Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 1-1 yang membuatkan skuad TBG kempunan untuk memastikan kemenangan milik mereka selepas mendahului sepanjang 90 minit permainan.
3. Perak vs KDA FC
Seperti dinyatakan di atas, penghijrahan skuad TBG ke Stadium Manjung memberi impak besar terhadap prestasi pasukan kerana mereka masih kempunan untuk merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super.
Penantian itu sepatutnya berakhir pada Rabu ketika mereka menerima kunjungan seteru Utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang merupakan perlawanan kelima dalam pertandingan tersebut sejak berpindah.
Clayton (tengah) pada awalnya meletakkan skuad TBG di hadapan. — Facebook/Perak FC
Tetapi, sekali lagi, peluang keemasan itu disia-siakan selepas skuad TBG dibolosi pada penghujung permainan selepas masing-masing gagal membuang bola daripada kawasan berbahaya.
Meskipun tidak boleh dinafikan jaringan Amirul Hisyam Awang Kechik itu berkelas dunia, ia sepatutnya boleh dihalang sekiranya kesemua pemain menjalankan tugas dalam memastikan penjaga gol, Haziq Nadzli mencatatkan 'clean sheet'.
Jaringan pada minit kedua masa tambahan tersebut sekali gus memadam kelebihan Perak FC yang terlebih dahulu berada di hadapan hasil gol Clayton da Silva menerusi sepakan penalti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram