PERTEMBUNGAN cukup menarik bakal disajikan Selangor FC dan Terengganu FC dalam separuh akhir kedua Piala FA 2024 di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu.
Kelebihan yang kini dimiliki skuad Sang Penyu masih belum cukup untuk mengesahkan tempat mereka dalam pentas final apabila mereka hanya meraih kemenangan 3-2 pada aksi separuh akhir pertama dua minggu lalu.
Kedudukan itu bakal membuatkan anak-anak buah Nidzam Jamil hanya memerlukan dua jaringan untuk mara menerusi kelebihan agregat dengan prestasi mereka di laman sendiri jarang mengecewakan.
BACA LAGI: Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA
BACA LAGI: Tak perlu 100 tahun pecah rekod andai JDT catat hatrik Piala FA — Kim Seng
Safawi (kanan) dan Akhyar (dua dari kanan) merupakan tonggak baharu Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Enam kemenangan berturut-turut, termasuk dua dalam saingan Piala FA sedikit sebanyak menunjukkan peluang cerah dimiliki kelab Lembah Klang berkenaan ke pentas akhir.
Bagaimanapun, prestasi memberangsangkan daripada Terengganu FC menjanjikan perlawanan itu akan menjadi sengit, lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua bintang negara, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Perasaan itu turut diakui penyokong kelab Pantai Timur berkenaan, Eirfan Haqiem yang percaya kedua-dua pemain sayap berkenaan mempunyai kebolehan untuk melonjakkan lagi tahap pasukan.
"Bagi saya, boleh untuk mereka membantu Terengganu ke final kerana mereka sudah menerapkan gaya permainan seperti mereka masih berada di Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun kurang minit permainan.
"Persefahaman antara kedua-dua pemain itu juga berjaya diterapkan dalam pasukan dan itu boleh membantu kita secara total," katanya kepada Majoriti.
Khuzaimi kian dilupakan dalam skuad Gergasi Merah berikutan isu kecederaan. — Facebook/Selangor FC
Safawi dan Akhyar dibawa masuk ke dalam skuad Sang Penyu secara pinjaman dari JDT pada jendela perpindahan lalu dengan misi memberikan minit permainan bagi kedua-dua penyerang sayap tersebut.
Objektif tersebut sememangnya tercapai memandangkan masing-masing sudah beraksi dengan cemerlang, baik dari segi sumbangan di hadapan pintu gol mahupun rentak permainan secara keseluruhan.
Dalam pada itu, penyokong Selangor FC, Zulhelmi Rusdi turut beranggapan beberapa pemain wajar diturunkan Nidzam sekiranya mahu menempah slot ke peringkat seterusnya.
"Saya harap (Yohandry) Orozco boleh beraksi dan jika boleh Alex (Agyarkwa) dan Reziq (Bani Hani) juga harapnya dapat bermain.
"Untuk pemain lokal pula, kita harap dapat saksikan Afro (Sharul Nazeem) atau Ahmad Khuzaimi Piee diberikan peluang. Bagi penjaga gol, saya harap Sam (Somerville) dipilih berbanding Khairulazhan Khalid," katanya lagi.
Beberapa perlawanan kebelakangan ini menyaksikan Nidzam membuat perubahan, termasuk melakukan penggiliran terhadap pemain bagi memberi waktu rehat buat tonggak pasukannya.
Namun, keputusan itu masih belum membawa hasil terbaik memandangkan prestasi Selangor FC masih terumbang-ambing, termasuk dalam saingan Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram