Tak cukup Harith Haiqal dipanggil ganti bek NSFC, ramai tadah doa sebut nama Faisal Halim ke Piala AFF


  • Podium
  • Khamis, 05 Dis 2024

Faisal Halim pernah menjadi penyerang sayap paling digeruni dalam Harimau Malaya kira-kira setahun lalu.

PERSIAPAN skuad kebangsaan menjelang saingan Piala AFF terus terjejas apabila dua pemain yang sebelum ini dipanggil mengalami kecederaan sehingga terpaksa menarik diri.

Mereka merupakan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim serta Harith Samsuri yang beraksi buat Negeri Sembilan FC dengan kehadiran mereka menjadi buah mulut penyokong.

Ini kerana masing-masing beranggapan pengendali interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mahu melakukan uji kaji terhadap pasukan menjelang saingan cukup mencabar itu.

BACA LAGI: Usah terlalu berharap bergelar 'Raja Asean', jadikanlah Piala AFF medan bintang muda bersinar — Pakar

BACA LAGI: Terus kempunan, 3 bintang makin bersinar sepatutnya dipanggil ke kem Piala AFF

Namun, disebabkan masalah dialami, kedua-dua pemain itu terpaksa menarik diri dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak memanggil bek tengah Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar serta penjaga gol muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Aiman.

Kemasukan kedua-dua itu terus dibincangkan penyokong yang mula beranggapan peluang skuad kebangsaan untuk mara amat tipis kerana skuad kali ini tidak dibarisi pemain-pemain bintang.

Bagaimanapun, mereka mula berasakan kualiti pasukan boleh dipertingkatkan sekiranya Pau Marti bertindak memanggil Faisal Halim yang tidak lagi dipanggil sejak menjadi mangsa simbahan asid.

"OK rasanya skuad ini, tetapi sepatutnya boleh panggil lebih sikit rasanya pemain Selangor FC seperti Faisal Halim ke. Ini kerana Selangor FC sudah pun dah tiada komitmen dalam ACL2 (Liga Juara-Juara AFC Two)," kata Safuan Abu Bakar.

"Faisal Halim itu pun sudah boleh dipanggil main. Selangor pun sudah tersingkir daripada ACL Two," kata Dauz Dudu.

468958497_1283223036084263_8507226206529148972_n

Keberadaan Faisal Halim dalam skuad kebangsaan dijangka mampu membawa kelainan positif.

"Harapan saya dapatlah panggil Faisal Halim, alang-alang Selangor tidak lagi beraksi di Asia dan saingan dalam Liga Super pun sudah semakin kurang meyakinkan," kata Zamri Mansor.

Musim ini, Faisal Halim masih belum merekodkan sebarang jaringan buat skuad Gergasi Merah selepas pulih daripada kecederaan, namun rentaknya di atas padang sudah semakin meyakinkan.

Ini termasuk keberaniannya untuk cuba menggelecek pihak lawan selain sudah beberapa kali mencipta rakan peluang buat rakan sepasukan dengan hantaran yang mengelirukan.

Sekiranya Pau Marti dapat berasa yakin terhadap pemain berusia 26 tahun berkenaan, tiada halangan daripadanya diturunkan dengan minit permainan berdepan pasukan kurang mengancam seperti Timor Leste akan membentuk semula keyakinan sebenarnya.

Harimau Malaya akan berkunjung ke Kemboja untuk aksi pertama peringkat kumpulan pada Ahad sebelum menerima kunjungan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur empat hari kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram