
SELANGOR FC menamatkan cabaran dalam saingan Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Dynamic Herb Cebu FC di Stadium Rizal Memorial, Filipina pada Khamis.
Namun, kemenangan tersebut tidak memberikan makna besar kerana skuad Gergasi Merah terpaksa menerima hakikat bahawa pencabar terdekat mereka, Muangthong United berjaya mengiringi Jeonbuk Hyundai ke pusingan kalah mati.
Selepas mengharungi enam perlawanan Kumpulan H, The Red Giants yang menang tiga kali sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 10 mata, yang hanya dipisahkan satu mata berbanding Muangthong United di tempat kedua.
BACA LAGI: Bukan hanya aksi Buriram, 3 kali kad merah warnai aksi JDT di Asia
BACA LAGI: [VIDEO] Satu stadium dengar meraung, bek 28 tahun patah kaki cuba halang rembatan pemain Sabah
Kegagalan untuk melepasi peringkat kumpulan kali ini menjadi kekecewaan kedua buat Selangor FC selepas turut tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2024 selepas tewas kepada Sri Pahang FC.
Namun, tahukah anda bahawa Selangor FC bukan satu-satunya kelab yang pernah terkandas di peringkat kumpulan sepanjang beraksi di pentas Asia kerana ada tiga lagi pasukan tempatan juga pernah menghadapi nasib sama.
JDT tersingkir dalam peringkat Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2021.
1. Johor Darul Ta'zim
Masih ingatkah anda ketika pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa akur apabila tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Bangkok, Thailand pada musim 2021.
Pada saingan di Bangkok ketika itu, skuad Harimau Selatan hanya sekadar menamatkan cabaran di tangga ketiga Kumpulan G dengan mengumpul empat mata daripada enam perlawanan.
Wakil negara itu hanya mampu mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Thailand, Ratchaburi FC pada aksi pertama sebelum diikat tanpa jaringan di aksi kedua dengan selebihnya tewas kepada kelab Korea Selatan, Pohang Steelers dan pasukan Jepun, Nagoya Grampus.
Meskipun tewas namun prestasi JDT di Bangkok dapat dianggap sebagai satu pencapaian yang sangat positif kerana berjaya menunjukkan bahawa mereka boleh bersaing di peringkat tertinggi Asia sekali gus meningkatkan reputasi bola sepak Malaysia.
Meskipun tersingkir namun skuad Sang Penyu melakar sejarah peribadi apabila mencatatkan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala AFC 2023.
2. Terengganu FC
Terengganu FC menamatkan kempen Piala AFC 2023 dengan rekod tanpa kalah selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Bali United dalam aksi terakhir Kumpulan G.
Walaupun berjaya meraih kemenangan, gol daripada Sony Norde dan Sardor Kulmatov hanya memastikan mereka menutup kempen dengan cemerlang, namun gagal untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
Terengganu kekal di tangga kedua Kumpulan G dengan 12 mata, satu mata di belakang juara kumpulan, Central Coast Mariners.
Mereka juga gagal memintas Phnom Penh Crown untuk menjadi naib juara terbaik Zon Asean sekali gus terpaksa akur kempen mereka terhenti di peringkat kumpulan.
Namun, rekod tanpa kalah dengan tiga kemenangan dan tiga seri mencerminkan prestasi yang membanggakan sepanjang saingan.
Pemain Kelantan Ahmad Shakir (dua, kiri) dilayang kad merah oleh pengadil dalam perlawanan Piala AFC menentang XM Vissai Ninh Binh di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu.
3. Kelantan FA
Kelantan FA menunjukkan prestasi yang mengagumkan dalam saingan Piala AFC 2014 walaupun menghadapi beberapa cabaran besar.
Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu mencatatkan beberapa keputusan positif, termasuk dua keputusan seri dan satu kemenangan.
Namun, kekalahan dalam perlawanan kritikal menjejaskan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
Kelantan akhirnya menamatkan saingan Kumpulan G di tangga tercorot di belakang Vissai Ninh Binh (Vietnam), Yangon United (Myanmar) dan South China (Hong Kong).
Meskipun gagal mara ke pusingan seterusnya, pengalaman beraksi di pentas Asia memberi nilai tambah yang penting bagi pasukan Kelantan dalam memperbaiki prestasi mereka pada masa hadapan.
Begitu pun, prestasi Kelantan kini dalam keadaan yang terumbang-ambing apabila pihak pengurusan kelab itu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kempen Liga A1 Semi Pro musim 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram