TIDAK boleh dinafikan bahawa pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente tidak diberikan skuad terbaik untuk kempen Piala AFF kerana saingan Liga Malaysia tidak dihentikan sementara bagi pertandingan tersebut.
Kekurangan tersebut mendesak ketua jurulatih sementara itu mendambakan khidmat pemain yang kurang berpengalaman selain tidak begitu dikenali dalam kalangan penyokong.
Bagaimanapun, sekiranya dilihat dari sudut positif, ketiadaan tonggak utama memberi ruang buat nama-nama baharu untuk disenaraikan bagi pertandingan terbabit.
BACA LAGI: Masih belum serasi, fans Borneo tak mahu terlalu awal 'lambung' Jimmy Raymond
BACA LAGI: Bangga anak Sarawak dalam HM, legenda Borneo ucap maju jaya buat Jimmy Raymond
Jimmy meraih kaps pertama di peringkat antarabangsa. — Facebook/FAM
Salah seorang yang diberi peluang itu ialah bek kanan Kuching City FC, Jimmy Raymond dengan aksi menentang Kemboja pada Ahad merupakan debutnya bersama skuad kebangsaan.
Meskipun tidak memberikan aksi terbaik, pemain berusia 28 tahun berkenaan masih memberi persembahan memuaskan dengan dia beberapa kali mematahkan serangan lawan.
Persembahan sedemikian sekali gus melonjakkan lagi saham anak jati Bintulu, Sarawak itu yang kian mencuri perhatian kelab-kelab Liga Super lain yang mahu mengukuhkan lagi barisan pertahanan mereka.
Sekiranya Kuching City tidak mengikatnya dengan kontrak lebih lama, terdapat kemungkinan tiga pasukan akan membuat tawaran untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
1. Selangor FC
Seperti musim-musim lalu, Selangor FC masih belum menyelesaikan isu pertahanan sayap kanan kerana mereka tidak membawa masuk pemain cukup berkualiti sepanjang dua jendela perpindahan lalu.
Meskipun Quentin Cheng sudah menunjukkan peningkatan, mereka tidak memiliki pilihan sekiranya pemain terbabit mengalami kecederaan atau berada dalam masalah prestasi.
Keputusan menurunkan Sharul Nazeem Zulpakar di posisi itu juga gagal membawa perubahan positif dengan ini membuktikan skuad Gergasi Merah memerlukan seseorang yang meyakinkan bagi musim akan datang.
Ketiadaan Quentin Cheng akan memberi kesan kepada skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Jimmy Raymond boleh dikatakan sebagai pilihan terbaik kerana asakan dilakukan untuk mencuri bola daripada pihak lawan amat diperlukan untuk merencanakan serangan.
Bagaimanapun, kekurangan pemain terbabit dalam aspek serangan boleh menyebabkan Selangor FC berfikir-fikir untuk mendapatkannya pada jendela perpindahan akan datang.
Setakat ini, dalam 14 penampilan Liga Super, bek kanan itu hanya mencatatkan satu bantuan jaringan meskipun skuad The Cats memiliki barisan pemain serangan berkualiti seperti Tchetche Kipre dan Jordan Mintah.
2. Terengganu FC
Awal musim lalu, peminat skuad Sang Penyu menerima berita mengecewakan apabila mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada tonggak pertahanan pasukan, Azam Azmi Murad.
Pemain yang baru sahaja berusia 23 tahun itu secara rasmi menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT), namun dipinjamkan semula ke Terengganu FC bagi tempoh semusim.
Jadi, seorang pengganti perlu dicari kelab Pantai Timur tersebut segera memandangkan ketika ini, mereka tidak mempunyai pilihan lain untuk diletakkan di posisi berkenaan.
Azam Azmi tidak akan bersama skuad Sang Penyu musim depan. — Facebook/Terengganu FC
Walaupun Alif Zakaria yang merupakan bek kiri boleh beraksi sebagai pemain pertahanan sayap, kepercayaan sedemikian boleh membawa padah untuk jangka masa panjang kerana mendedahkan kelemahan terhadap pihak lawan.
Melihat kepada calon tersedia, Jimmy Raymond boleh disambar Terengganu FC yang tidak seperti Selangor, kebolehan bek sayap dalam aspek serangan kurang ditagih.
Sekiranya pemain Kuching City FC itu berjaya ditandatangani, skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu boleh kembali meletakkan Alif di posisi sayap pertahanan kiri yang lebih sinonim dengannya.
3. Perak FC
Isu pertahanan sekali lagi membelenggu Perak FC musim ini kerana dalam kelompok 10 pasukan teratas, jumlah gol dibolosi mereka adalah yang tertinggi, iaitu 26.
Angka terbabit sememangnya boleh dikurangkan sekiranya skuad The Bos Gaurus (TBG) memiliki barisan pertahanan yang kukuh, termasuk di posisi bek sayap.
Aiman Yusni menunjukkan peningkatan saban musim. — Facebook/Perak FC
Setakat ini, pengendali pasukan, Yusri Che Lah kelihatan selesa dengan benteng pasukannya, namun ia boleh diperkukuhkan bagi memastikan mereka tidak mencicirkan mata begitu mudah.
Kemasukan Jimmy Raymond untuk digandingkan bersama rakan senegerinya, Tommy Mawat Bada boleh mencipta keserasian untuk meletakkan kembali meletakkan mereka sebagai pasukan digeruni.
Namun, kemasukan pemain baharu Harimau Malaya berkenaan akan merencatkan perkembangan bek kanan Perak FC, Aiman Yusni yang menunjukkan peningkatan musim demi musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram