Ada pengalaman bersama FC Barcelona, kelab Liga Super wajar sambar khidmat Pau Marti


  • Podium
  • Sabtu, 07 Dis 2024

Pau Marti pernah berada dalam sistem kejurulatihan FC Barcelona.

PAU Marti Vicente mengejutkan dunia bola sepak negara apabila mengesahkan kempen Piala Asean bermula 8 Disember ini hingga 5 Januari 2025 akan menjadi tugasan terakhirnya selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan rasmi di Facebook pada Khamis (5 Disember) memaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan perbincangan bersama badan induk itu berkaitan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan.

Pau Marti turut memaklumkan keputusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan pasukan negara dan FAM akan melantik ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan baharu bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula tahun depan.

BACA LAGI: Pertukaran jurulatih ganggu 'momentum' Selangor FC — Nizaruddin

BACA LAGI: Cungkil 'hidden gem' Harimau Malaya, FAM rugi jika lepaskan Pau Marti

Mempunyai pengalaman luas di pentas Eropah, dua pasukan wajar sambar khidmat Pau Marti selepas kontrak tamat bersama FAM:

1. Selangor FC

Walaupun Selangor FC sudah melantik ketua jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi, namun prestasi semasa pengendali itu bersama Gergasi Merah masih belum mampu menambat hati penyokong.

Tersingkir Piala Malaysia 2024 dan tidak layak ke peringkat kalah mati Piala Asia 2024 mungkin menjadi penanda aras tiga perlawanan pertama Kinoshi di kem Gergasi Merah.

Pihak pengurusan Selangor boleh menggunakan kepakaran Pau Marti untuk membangunkan pemain-pemain muda selepas individu dari Sepanyol itu pernah melahirkan bakat baharu FC Barcelona.

Pau Marti juga amat mengenali pemain-pemain Selangor seperti Faisal Halim, Nooa Laine, Harith Haikal selepas mereka antara bintang yang berada dalam skuad kebangsaan.

2. Terengganu FC

Selepas pemergian Tomislav Steinbruckner pada Oktober lalu, sehingga kini Terengganu FC masih belum mempunyai ketua jurulatih.

Lambakan pemain-pemain muda berkualiti, Pau Marti antara calon terbaik untuk terus mengemudi Sang Penyu selepas kontraknya bersama FAM tamat.

Corak permainan dengan penguasaan bola seperti 'Nafuzi Ball', Pau Marti wajar menjadi calon utama buat pihak pengurusan untuk melantiknya menjadi ketua jurulatih baharu.

Pau Marti juga berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam skuad kebangsaan dengan beberapa pemain yang sebelum ini tidak pernah beraksi buat Harimau Malaya.

Jadi ini satu kelebihan baharu untuk Terengganu jika mahu mencungkil lebih banyak pemain muda berkualiti seperti Azam Azmi, Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamul dan ramai lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram