PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mengakui dirinya kini berada dalam situasi sukar susulan lima kekalahan berturut-turut selepas diaibkan 0-4 oleh Tottenham Hotspur di laman sendiri pada Sabtu.
Ia merupakan kekalahan terbesar City di laman sendiri sejak mereka dibelasah Arsenal 1-5 di Maine Road 21 tahun lalu.
Guardiola walau bagaimanapun tidak menekan butang panik dan masih optimis pasukannya mampu bangkit daripada kekalahan tersebut.
BACA LAGI: Ong Kim Swee beri kemenangan ke-50 buat Sang Badak, fans anggap hanya perlawanan latihan Sabah FC
"Benteng pertahanan agak rapuh, kami tidak dapat bertahan dengan baik walaupun bermula dengan baik, kami bergelut untuk menjaringkan gol dan kemudiannya bolos.
"Kadang-kadang anda perlu berdepan situasi seperti ini dan perlu menerimanya. Anda tidak boleh menyalahkan satu sama lain sebaliknya terus kekal bersama dan melakukan apa yang telah dimulakan.
"Putus asa? Sama sekali tidak, kita perlu bangkit lebih kuat daripada sebelumnya. Apa yang akan menentukan kekuatan kita ialah apabila kita gagal, kita bangkit dan menghadapinya," katanya.
Man City tewas 0-4 kepada pasukan Spurs di laman sendiri pada Sabtu.
Kekalahan itu bakal menyaksikan City ketinggalan lapan mata jika pendahulu, Liverpool meraih kemenangan ke atas Southampton untuk mengumpul 31 mata.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku musim ini, tetapi tidak sesaat pun saya hilang kepercayaan dengan pemain-pemain saya,” kata Guardiola.
"Tiada pasukan di dunia yang boleh mengekalkan kejayaan selama lapan, sembilan, 10 tahun berturut-turut.
"Sudah tentu kami belum sempurna, tetapi apa yang kami cuba lakukan ialah menganalisis dan terus beraksi ke perlawanan seterusnya." ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai prestasi individu pemainnya, Guardiola meluahkan kerisauan susulan masalah kecergasan dihadapi pasukannya sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
"Peluang ada. Ketika mereka mencipta peluang tetpai kami gagal menjaringkan gol dan ketika ini pemain agak bergelut dengan isu kecergasan.
"Pemain pulang lewat dari panggilan skuad kebangsaan antara sebab kami tidak konsisten," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram