SABAH FC menepati ramalan penyokong bola sepak negara selepas mudah menundukkan wakil Liga Semi-Pro A1, Putrajaya (PT) Athletic FC meskipun mempunyai ramai pemain-pemain berpengalaman termasuk Mohd Amri Yahya.
Perlawanan yang dimainkan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu tidak memberikan kelebihan buat PT Athletic walaupun padang lecak susulan hujan lebat sebelum aksi Piala Malaysia 2024 itu bermula.
PT Athletic menurunkan kesebelasan terbaik apabila membariskan ramai alumni Liga Super seperti Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Fandi Othman dan Indra Putra Mahayuddin.
BACA LAGI: Pernah wakili kelab Jepun, Chan Vathanaka antara 3 import Asean 'underrated' di Liga Malaysia
Manakala Sabah FC pula menurunkan skuad kedua apabila memilih merehatkan beberapa pemain kebangsaan seperti Daniel Ting, Stuart John Wilkin dan Dominic Tan.
Dalam perlawanan itu, Sabah bermula garang apabila Saddil Ramdani kemas menyempurnakan hantaran Darren Lok pada minit ke-13 untuk meletakkan Sang Badak di hadapan.
PT Athletic cuba merapatkan jurang dengan mempertaruhkan pemain import, Azeez Adam bersama gandingan Amri sebelum mudah dipintas barisan pertahanan Sabah.
Lima minit kemudian, Muhammad Danial Haqim menghasilkan jaringan selepas melakukan rembatan bola 'rebound' dalam kotak penalti PT Athletic untuk meletakkan Sabah berkelebihan 2-0 di hadapan.
Perlawanan pada separuh masa pertama dikuasai oleh Sabah sebanyak 60 peratus manakala PT Athletic hanya 40 peratus sebelum pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat dengan keputusan kekal 2-0 meninggalkan tuan rumah.
Bersambung babak kedua, Sabah terus menguasai perlawanan apabila pemain-pemain veteran PT Athletic dilihat sedikit kepenatan untuk mengejar anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Namun tidak mudah menyerah kalah, hasil usaha Amri untuk merampas bola di kaki Gabriel Peres berjaya menghasilkan gerakan yang memberikan gol buat PT Athletic.
Gandingan pemain berusia 43 tahun itu bersama Indra Putra menghasilkan jaringan cantik dari luar kotak penalti sebelum pengadil membatalkan gol tersebut.
Keputusan oleh pengadil itu ternyata membuatkan Amri tidak berpuas hati dengan beberapa reaksi dilakukannya.
Masuk minit ke-70 suhu permainan semakin panas apabila beberapa terjahan keras dibuat oleh pemain kedua-dua pasukan.
Pada minit ke-75, pemain gantian Sabah, Daniel Ting memanfaatkan kekeliruan yang berlaku dalam kotak penalti PT Athletic untuk meletakkan Sabah di hadapan dengan keputusan 3-0.
Sabah terus mengawal keseluruhan permainan meskipun sudah melakukan beberapa pertukaran dengan jaringan sendiri pemain PT Athletic pada masa tambahan menutup perlawanan sehingga wisel penamat ditiupkan.
Perlawanan terakhir Kim Swee itu berjaya menghadiahkan kemenangan ke-50 buat Sabah selepas 87 perlawanan dikendalikannya sejak 2021 apabila keputusan kekal dengan 4-0.
Dalam pada itu, penyokong-penyokong Sabah beranggapan perlawanan pertama pusingan ke-16 Piala Malaysia 2024 itu hanyalah aksi latihan buat Sang Badak.
"Pemain-pemain PT Athletic tak kejar bola langsung lawan dengan pasukan Sabah," kata Roland Interlas.
"Dalam tangan mesti menang, lawan tak berapa nak kuat sangat, apa-apa pun terbaik," ujar Clyrence Ren.
"Kemenangan buat perpisahan OKS untuk perlawanan ini sudah pasti," jelas Seffie SP.
Perlawanan timbal balik pusingan ke-16 Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Kuala Lumpur pada 27 November nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram