PASUKAN sepak takraw tanah air kini berpeluang untuk mendapatkan khidmat tekong berbisa Thailand, Siriwat Sakha bagi menghadapi saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw pada musim depan.
Ia berikutan selepas Siriwat dalam satu hantaran video di Facebook, Sepak Takraw League seolah-olah memberi bayangan mahu beraksi dalam saingan domestik.
Sudah pasti berita baik itu memberi peluang kepada beberapa pasukan tanah air untuk mendapatkan sentuhannya sebagai tekong terbaik dunia.
BACA LAGI: 'See you in court', DSAT mahu saman MB Kedah RM1 bilion?
BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah macam Pep Guardiola', fans puji pengurus Selangor Pistons pertahan hak pasukan
Dikenali dengan kemahiran teknik yang tinggi dan ketepatan dalam setiap servis kuda, Siriwat merupakan aset penting bagi pasukan kebangsaan Thailand.
Dengan pengalamannya sepanjang beraksi bersama pasukan Thailand, sudah pasti ia akan memberi kelebihan buat pasukan yang berjaya menandatangani khidmatnya.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan tanah air yang berpeluang untuk melamar tekong berbisa Thailand itu.
1. Penang Black Panthers
Prestasi yang ditampilkan oleh Penang Black Panthers musim ini cukup mengecewakan para penyokong mereka apabila gagal mencuri slot ke perlawanan akhir STL.
Lebih mengecewakan lagi apabila skuad kendalian Ahmad Supian Napiah itu terpaksa menelan pahit apabila tidak dapat menghadiahkan sebarang mata bagi Grand Prix Penang meskipun beraksi di Stadium SPICE Arena, Bayan Lepas, Penang.
Penang Black Panthers yang dulunya menjadi pasukan digeruni oleh pihak lawan nyata gagal menunjukkan kekuatan mereka musim ini.
Difahamkan, prestasi merosot itu berpunca daripada kurangnya pengalaman pemain muda dan tekong yang kurang padu.
Meksipun membariskan seorang pemain berpengalaman iaitu Zaim Razali selaku penguman namun anak-anak buah Ahmad Supian gagal memberikan persembahan menarik.
Dalam pada itu, ini merupakan peluang untuk pasukan Utara tanah air membawa masuk tekong berbisa Thailand, Siriwat yang pastinya mempunyai pengalaman luas untuk membantu pasukan itu musim depan.
Sebahagian aksi menarik yang ditampilkan oleh pemain Perak Bison (jersi oren) bertemu Royal Air Force. — Facebook/STL
2. Kelantan Warrios
Dari Divisyen 1 ke Liga Premier, Kelantan Warriors merupakan salah satu pasukan yang berjaya mencuri tumpuan penyokong bola rotan itu.
Perjalanan pasukan Pantai Timur itu ke Liga Premier banyak dibantu oleh tekong import iaitu Purached Yodsaen.
Walaupun berjaya melakar sejarah dalam Divisyen 1, cabaran Kelantan Warriors dalam Liga Premier musim ini agak suram selepas kehilangan Purached yang kembali ke Thailand.
Berikutan kehilangan Purached itu, Kelantan Warriors dijangka kembali bernafas sekiranya berjaya mendapatkan khidmat Siriwat musim depan.
Bagi Kelantan, membawa masuk pemain dari Thailand bukanlah perkara yang mustahil memandangkan hubungan baik yang mereka jalin dengan beberapa kelab di negara tersebut.
Difahamkan, Kelantan Warriors mempunyai hubungan baik dengan Royal Thai Air Force Takraw Club yang juga merupakan kelab terkini Siriwat.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya musim depan Siriwat bakal beraksi bersama juara Divisyen 1 musim ini.
Tekong berbisa pasukan kebangsaan Thailand, Siriwat Sakha (jersi hitam). — Facebook/STL
3. Johor Tigris
Siriwat berpeluang besar untuk beraksi bersama Johor Tigris memandangkan hubungan yang telah terjalin antara pasukan tersebut dan rakan senegara, Rattadech Noijaroen.
Tekong berbisa Thailand, Rattadech sebelum ini pernah menabur bakti bersama Johor Tigris bagi musim 2022/2023 sebelum membuat keputusan untuk angkat kaki musim ini.
Sudah pasti pengalaman dan kemahiran Rattadech dalam meningkatkan mutu permainan pasukan memberi keyakinan kepada pengurusan Johor Tigris untuk mencari lagi pemain dari Thailand yang mampu menyumbang kepada kejayaan pasukan.
Meskipun memiliki dua pemain berpengalaman ketika ini tekong utama, Hairul Hazizi Haidzir dan pengumpan, Farhan Adam namun ia tidak mampu membantu pasukan tersebut mencuri slot ke separuh akhir STL musim ini.
Oleh itu, Johor Tigris adalah salah satu pasukan yang berpotensi untuk mempertimbangkan mendapatkan khidmatnya musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram