Idolakan Nabil Rauf, pemain Shah Alam Titans tekad bantu pasukan juara Liga Super Bola Keranjang


  • Podium
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Pemain Shah Alam Titans, Tan Chi Seng sempat berkongsikan bahawa dia mengidolakan Nabil Rauf (gambar) yang juga merupakan jurulatihnya. — Instagram/nabilrauf7

PEMAIN Shah Alam Titans, Tan Chi Seng sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik dalam saingan Liga Super Bola Keranjang yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.

Menurutnya, dia berasa teruja untuk memulakan aksi yang julung kalinya diadakan di Malaysia itu.

“Apa yang saya boleh katakan adalah saya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik. Saya percaya penganjur telah membuat persiapan yang cukup rapi kerana ini adalah pengalaman baru yang belum pernah kami alami dan saya sangat teruja,” katanya kepada ketika ditemui pada majlis pelancaran Hari Draf Pemain di Dewan Semarak, Cyberjaya, Selangor pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas orang kuat Jose Mourinho calon paling sesuai duduk kerusi no.1 Selangor FC

BACA LAGI: [VIDEO] 'Faisal Halim is back', jaringan latihan berkelas dunia ubat kerinduan penyokong

WhatsApp Image 2024-11-23 at 16.00.32

Pemain Shah Alam Titans, Tan Chi Seng (kanan).

Mengulas lanjut mengenai kelebihannya terhadap pasukan, Chi Seng berkata, dia mempunyai kekuatan tersendiri untuk membantu pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super Bola Keranjang itu.

“Saya rasa kelebihan saya adalah kelajuan di atas gelanggang dan saya sedang berusaha untuk memperbaikinya. Selain itu, saya juga percaya kepimpinan saya adalah kekuatan utama saya.

“Apa yang saya boleh lakukan adalah membawa tenaga dan sikap positif saya ke atas gelanggang serta memberi inspirasi kepada rakan sepasukan saya.

“Di samping itu, saya berharap agar kami dapat mencapai keputusan yang baik pada musim ini dan sudah tentu mengimpikan untuk menjadi juara," ujarnya.

Ditanya mengenai sumber inspirasi dalam sukan bola keranjang, Chi Seng sempat berkongsikan idolanya.

"Di peringkat tempatan, saya mengagumi jurulatih bola keranjang, Nabil Rauf, dia adalah mentor dan jurulatih saya sejak saya kecil yang anyak mengajar saya kemahiran menggiring bola dan banyak memberi saya pemahaman tentang permainan. Prestasi saya banyak meningkat hasil tunjuk ajar olehnya," jelasnya.

Di samping itu, Chi Seng turut berkongsikan harapan peribadinya untuk pasukan Shah Alam Titans.

"Saya akan mengorbankan diri saya untuk pasukan dengan mempercepatkan permainan dan berusaha membawa kepimpinan saya di atas gelanggang.

"Saya juga akan memberi keyakinan kepada semua pemain dan memastikan kami bergerak ke arah yang sama dengan semangat juang yang tinggi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram