[VIDEO] 'Faisal Halim is back', jaringan latihan berkelas dunia ubat kerinduan penyokong


  • Podium
  • Khamis, 14 Nov 2024

Musim ini Faisal telah tampil dalam enam perlawanan bersama Gergasi Merah.

SELEPAS enam bulan mengalami detik-detik hitam disimbah asid oleh individu tidak dikenali, bintang sayap Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim kini menjaringkan gol berkelas dunia semasa sesi latihan Gergasi Merah di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam baru-baru ini.

Dalam perkongsian video dimuat naik oleh Selangor Soccer Fan Club - SSFC di Facebook memperlihatkan detik-detik jaringan yang dilakukan Faisal Halim selepas dia bergelut untuk mengembalikan prestasinya selepas insiden ngeri dialaminya itu.

Berdasarkan video berdurasi 12 saat itu, Faisal Halim menerima hantaran daripada rakan sepasukan sebelum melakukan rembatan lencongan ke penjuru gawang gol yang menewaskan penjaga gol.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas orang kuat Jose Mourinho calon paling sesuai duduk kerusi no.1 Selangor FC

BACA LAGI: [VIDEO] Baru 32 tahun, bekas import Selangor calon jurulatih baharu?

Jaringan dihasilkan oleh Faisal Halim pastinya mengubat kerinduan peminat bola sepak tanah air yang mahu melihat pemain berusia 26 tahun itu kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

Ini kerana jaringan terakhir Faisal Halim bersama Harimau Malaya ialah semasa kejohanan Piala Asia 2023 yang mana anak kelahiran Pulau Pinang itu menjaringkan gol ketika mengikat Korea Selatan 3-3 pada 25 Januari 2024.

Malah jaringan yang dihasilkan Faisal Halim ketika mengikat Korea Selatan itu dinobatkan sebagai gol terbaik pada Piala Asia Qatar.

Melihat jaringan cantik dilakukan Faisal Halim semasa sesi latihan itu, rata-rata penyokong percaya bintang Harimau Malaya itu akan bangkit semula seperti sebelum insiden hitam yang melanda kepadanya.

"'Come on' Faisal, buktikan kau lebih keras daripada mereka itu, Saya tetap menyokong," kata Namur Adisaka.

"Insya-ALLAH sama-sama kita doakan Faisal Halim teruskan semangat kental, kau pasti kembali hebat," ujar Nazri Naz.

"Selepas ini Faisal main kiri, Ali Olwan dan Alvin Fortes kanan," jelas Merah Delima.

Bersama Selangor musim ini, Faisal telah tampil dalam enam perlawanan di Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram