PELAKON dan pelawak popular, Yassin Yahya, 46, atau lebih dikenali sebagai Yassin Senario cukup terkenal dengan perwatakan lucu dan lawak spontan ketika di pentas persembahan.
Merupakan ahli termuda dalam kumpulan lawak Senario, peranan Yassin sentiasa mencuri tumpuan di samping wajah tampannya yang juga diminati ramai satu ketika dahulu.
Mula bergiat aktif dalam dunia hiburan tanah air sejak 2000, sehingga kini penampilannya di kaca televisyen tidak pernah lekang daripada naskhah yang sentiasa berjaya mencuit hati penonton.
BACA LAGI: GV11 dikecam jatuhkan 'value' artis, ramai kritik Ning Baizura tak sesuai lagu zaman BBNU
Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa anak jati Kuala Lumpur ini terlebih dahulu memulakan karier sebagai pemain bola sepak sebelum melangkah ke dunia seni.
Selain berbakat dalam bidang komedi, Yassin pernah mewakili skuad Kuala Lumpur di Kejohanan Piala Milo pada 1990.
Merupakan pemain utama skuad Kuala Lumpur Bawah-12 (B12), Yassin pernah beraksi mewakili kelabnya di Kejohanan Piala Milo pada 1990 dekat Jepun.
Beraksi di posisi serangan sebagai penyerang utama skuad Kuala Lumpur, Yassin cukup terkenal dengan kelincahan dan kelajuan di atas padang selain turut berkebolehan menjaringkan gol dari jarak jauh.
Namun, selepas kejohanan itu tamat, Yassin difahamkan mengambil keputusan untuk menggantung but dan mencuba nasib menyertai program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan sekitar 1998.
Bertitik tolak daripada itu, kehidupannya mula berubah apabila ditawarkan menganggotai kumpulan Senario yang satu ketika dahulu cukup fenomena dan ikonik dalam kalangan masyarakat tempatan.
@senariooutofcontext Replying to @zakk kerii dia punya emo macam termakan roti peluh #senariounion #yassinsenario #saifulapek #fyp #fypシ #lagilagisenario #senario ♬ original sound - Senario Out Of Context
Pernah digandingkan bersama Saiful Apek dalam siri Gitu-Gitu Apek (2006), namanya semakin memuncak apabila pernah dicalonkan sebanyak lima kali bagi kategori Artis Komedi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Perubahan zaman yang semakin didominasi bakat-bakat pelawak baharu tidak menggugat kariernya apabila pernah menyertai Maharaja Lawak Mega pada 2011 dan 2013, secara tidak langsung kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
Terbaharu, kumpulan Senario mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Artis Komedi Popular ABPBH ke-36 baru-baru ini.
Selain itu, gandingan Yassin dan Saiful Apek membentuk kumpulan SaYa juga pernah memeriahkan program Gegar Vaganza musim kelapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram