KERUSI nombor satu Selangor FC masih lagi belum dimiliki oleh mana-mana jurulatih selepas pengendali terdahulu, Nidzam Jamil meletakkan jawatan selepas cemerlang mengemudi Gergasi Merah dalam saingan domestik mahupun antarabangsa.
Rekod cemerlang Nidzam bersama Selangor masih belum dapat mencuri hati pemain-pemain ke-12 selepas desakan daripada penyokong yang mahukan jurulatih itu meletakkan jawatannya.
Akhirnya pada 30 Oktober, pihak pengurusan Selangor mengumumkan bahawa jurulatih berusia 44 tahun itu telah melepaskan jawatannya sebagai pengendali Selangor menggantikan Tan Cheng Hoe awal musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru 32 tahun, bekas import Selangor calon jurulatih baharu?
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
Kini beberapa khabar angin menyatakan Selangor giat memburu jurulatih import selepas calon utama tempatan, Datuk Ong Kim Swee menyambung kontrak bersama Sabah FC sehingga tamat musim ini.
Jikalau pihak pengurusan Selangor serius untuk membawa masuk jurulatih asing, bekas pembantu Jose Mourinho antara calon sesuai untuk mengemudi Gergasi Merah mara lebih jauh.
Ini kerana jurulatih berusia 49 tahun itu mempunyai pengalaman luas bersama barisan kejurulatihan gergasi Eropah seperti FC Porto (Portugal), Chelsea FC, Manchester United (England), Inter Milan (Itali) dan Real Madrid (Sepanyol).
Bukan sahaja menjawat jawatan sebagai pembantu jurulatih, Faria juga mempunyai pengalaman menjadi pengendali kelab Qatar, Al-Duhail SC pada musim 2019.
Faria (kanan) sebelum ini bekerja rapat dengan Mourinho di United dan Chelsea. — Agensi
Dalam 31 perlawanan sebagai pengendali Al-Duhail SC, Faria berjaya merekodkan 17 kemenangan, sembilan seri dan lima kekalahan di semua kejohanan domestik serta antarabangsa.
Jurulatih kelahiran Portugal itu juga berjaya membawa Al-Duhail SC ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada edisi 2018-2019 sebelum tewas di tangan lawan senegara, Al-Saad.
Anak didik Mourinho itu juga berjaya membawa Al-Duhail SC menjadi finalis kejohanan Liga Qatar sebanyak dua kali dengan menewaskan Al-Saad dalam Piala Emir 4-1 pada 2019.
Manakala Piala Qatar, anak-anak buah Faria terpaksa menelan kepahitan apabila Al-Saad kembali membalas dendam menewaskan mereka dengan keputusan 0-4 pada 2020.
Selain itu Faria mempunyai pengalaman melatih pemain-pemain bintang seperti Romelu Lukaku, Eden Hazard, Frank Lampard, Paul Pogba, Cristiano Ronaldo dan beberapa individu lain yang sudah terbukti di Eropah.
Manakala di Al-Duhail SC pula, Faria rata-ratanya melatih pemain skuad kebangsaan Qatar dan beberapa import yang mempunyai nama dalam arena bola sepak Eropah dan Asia.
Ini sekali gus menjadi kelebihan buat pihak pengurusan untuk mempunyai jurulatih yang boleh mengawal keadaan bilik persalinan dengan lebih baik.
Faria juga antara jurulatih yang mempunyai banyak taktikal apabila menggunakan lebih daripada lima formasi semasa mengendalikan Al-Duhail SC.
Formasi kegemaran Faria ialah 4-2-3-1 dan 3-4-3 yang mana menjadi pilihannya ketika bertemu pasukan lebih kuat.
Bekas jurulatih Real Madrid itu juga mempunyai lesen pro kejurulatihan UEFA dan kini masih lagi bergelar ejen bebas sejak 2020.
Dengan pengalaman luas di Eropah yang bakal dibawa jurulatih berusia 49 tahun itu, menjadi persoalan adakah Selangor akan melihat profil Faria atau pun memilih untuk terus mengekalkan calon tempatan sekali gus membawa cabaran Gergasi Merah tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram