KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberi kejutan kepada penyokong apabila mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan kelab berkenaan selepas hampir tiga tahun bersama The Rhinos.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Kim Swee meninggalkan kelab Borneo itu dan perlawanan terakhir yang akan dikendalikannya adalah aksi Piala Malaysia berdepan PT Athletics pada Sabtu.
Meskipun sudah tidak bertugas dengan The Rhinos, Kim Swee mengakui akan kekal menjadi penyokong pasukan Borneo tanah air berkenaan, selain sempat merakamkan terima kasih tidak terhingga kepada 'pemain ke-12' Sang Badak.
BACA LAGI: Jadi calon jurulatih skuad Harimau Muda, Nafuzi Zain semakin hampir tinggalkan Darul Aman
BACA LAGI: Tak belajar daripada kesilapan, imbau semula 3 kes sama sebelum kontroversi rasis Tommy Mawat
Kim Swee membimbing Sabah bermula 2022 menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan berjaya meletakkan pasukan itu antara tiga teratas Liga Super selain layak ke kejohanan AFC tahun lalu.
Kehilangan pengendali berusia 53 tahun berkenaan selaku watak yang berhasil membawa revolusi kepada bola sepak Sabah itu sememangnya memberi tamparan kepada penyokong dan pihak pengurusan Sabah.
Oleh itu, penyokong rata-ratanya berharap pihak pengurusan Sabah diharap dapat mencari pengganti yang mengekalkan identiti yang dibawakan oleh Kim Swee atau sekurang-kurangnya mengenali landskap bola sepak Sabah.
Tangkap layar pendapat daripada penyokong Sabah mengenai pengganti Kim Swee.
Antara yang menjadi pilihan penyokong ialah bekas pengendali iaitu Jelius Ating susulan kejayaan anak jati Sabah itu pernah membawa pasukan Sabah FC naik pangkat ke peringkat Liga Super.
Jelius yang sebelum ini tidak pernah memiliki Lesen Pro A difahamkan sudah memilikinya pada Mei lalu dan ia melayakkannya untuk mengendalikan pasukan Liga Super dalam Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Untuk rekod, Jelius merupakan jurulatih yang membimbing pasukan Sabah untuk menjuarai Liga Perdana pada 2019 yang membolehkan pasukan itu dinaikkan ke saingan Liga Super, yang kemudian dijadikan sebuah kelab profesional dikenali sebagai Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram