PENCAPAIAN kontinjen Selangor dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sememangnya membanggakan kerana mereka menamatkan saingan di tangga ketiga dengan 181 pingat mengandungi 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa diraih.
Kutipan pingat itu adalah lebih tinggi berbanding temasya terdahulu di Kuala Lumpur yang mana mereka hanya berada di kedudukan kelima dengan hanya 130 dikutip secara keseluruhan.
Prestasi memberangsangkan tersebut pasti mahu diteruskan dengan harapan negeri Lembah Klang itu dapat berada di tangga lebih baik dengan kali terakhir mereka menjuarai temasya tersebut adalah pada 2016.
BACA LAGI: Masalah padang bukan punca Stadium Shah Alam ditutup — Nizam Marjugi
BACA LAGI: Simpati nasib atlet sofbol SUKMA, MSN Selangor tampil biayai kos pembedahan, pemulihan
Kontinjen Selangor berada dalam landasan terbaik untuk meneruskan kecemerlangan mereka.
Sasaran itu sememangnya mampu dicapai kerana pada penganjuran SUKMA yang ke-22, Selangor sudah dipilih sebagai tuan rumah dengan ia merupakan kali kedua negeri berkenaan memegang status itu.
Peluang berkenaan pasti mahu dimanfaatkan sebaik mungkin meskipun tahu pencabar dari negeri lain akan melakukan persiapan terbaik untuk muncul juara keseluruhan.
Jadi, untuk memastikan setiap atlet berada dalam tahap terbaik, pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor tampil memberikan pelan rapi bagi kesemua peserta, termasuk dalam aspek mental.
Pengerusi MSN Selangor, Nizam Marjugi berkata, pihaknya akan memastikan persediaan peserta di tahap optimum, namun motivasi dari segi bonus tidak dapat dipastikan setakat ini.
"Ganjaran kebiasaannya akan diputuskan pihak kerajaan negeri. Namun, bagi tujuan latihan, pihak majlis akan berusaha menyediakan keperluan dan kelengkapan terbaik bagi persediaan atlet.
Nizam menegaskan pelbagai persiapan dibuat bagi atlet Selangor bagi SUKMA akan datang.
"Bagi tujuan menaikkan semangat atlet, pihak majlis akan menjalankan program motivasi dan kem berbentuk peningkatan jati diri dan bina semangat bagi memastikan mereka lebih bersemangat untuk menjalani latihan dan program persediaan pasukan," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bagaimana insentif disediakan dapat menyuntik motivasi dan semangat buat atlet, termasuk mereka yang bersaing dalam temasya SUKMA.
Meskipun ganjaran itu dikhuatiri akan mengganggu fokus mereka, ia dapat memberi kelebihan kerana masing-masing mahu memastikan titik peluh dan pengorbanan dibuat berbaloi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persiapan bagi temasya SUKMA akan datang, Nizam menegaskan pihaknya sudah melakukan persiapan untuk mengenal pasti peserta terbaik.
"Buat masa ini pihak majlis sedang menyusun semula program persediaan atlet dan mula mengenal pasti pelapis-pelapis baharu untuk diketengahkan dan diberikan program latihan. Ini bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi SUKMA akan datang," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram