[VIDEO] Hilang bapa sehari sebelum final tak patahkan semangat atlet boling Pulau Pinang, siap cipta nama di SUKMA Sarawak


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Hafiz (kiri) membawa pulang beberapa pingat dalam acara boling yang disertainya dalam temasya SUKMA Sarawak tahun ini.

KEHILANGAN ayah tercinta boleh menyebabkan kehidupan seorang anak terjejas, lebih-lebih lagi sekiranya hubungan mereka cukup rapat dan masing-masing sukar dipisahkan.

Selain perlu mengharungi kesedihan itu, ada dalam kalangan mereka yang kehilangan insan kesayangan berkenaan akan berdepan kesukaran untuk kekal fokus dalam apa jua yang diceburinya.

Namun, bagi seorang atlet boling muda, Muhammad Hafiz Darwisy Azhlan, berita menyedihkan itu tidak menghalangnya daripada membawa kebanggaan buat keluarga.

BACA LAGI: 'Kepimpinan mendiang angkat sukan boling', pemergian PS Nathan cukup dirasai

BACA LAGI: Bekas jurulatih boling bebas tuduhan amang seksual atlet lelaki SUKMA

Kisah menyentuh hati itu berlaku pada Jun lalu apabila dia yang bertanding dalam Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak kehilangan bapa tercinta di kampung halaman, Pulau Pinang sehari sebelum pusingan akhir.

Perkara itu dikongsikan jurulatih kepada Hafiz, Adrian Charles di akaun Facebook peribadinya sebulan selepas kejadian yang jelas kagum akan ketabahan juara berkenaan.

"Sekelip mata sahaja sebulan dah berlalu, kemenangan ini masih sangat segar dalam ingatan saya. Apa yang dilalui Hafiz ketika ini, hanya Tuhan sahaja yang tahu dan faham.

"Kehilangan ayah tersayang sehari sebelum final ini. Tiada jalan untuk pulang ke Penang dan berjumpa ayahnya buat kali terakhir. Hafiz hanya mampu meneruskan perjuangan demi menunaikan hasrat ayahnya yang teringin tengok Hafiz juara sekali lagi," tulisnya.

U25_champ

Hafiz mencipta nama dalam sukan boling dengan pelbagai kejohanan disertainya.

Dalam pertandingan itu, Hafiz yang mewakili MMBC Penang tidak menarik diri daripada kategori Masters Remaja Bawah 25 meskipun terpaksa berdepan pemain pilihan, Tsen Fan Yew yang bertanding di bawah tiket Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).

Meskipun terkesan atas perkhabaran itu, atlet berusia 17 tahun berkenaan menundukkan lawannya dengan keputusan memberangsangkan, sekali gus membawa pulang ganjaran RM8,000.

Kemenangan dalam kejohanan tersebut merancakkan lagi karier Hafiz kerana ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini di Sarawak, dia yang berentap dalam acara berpasukan membawa pulang satu pingat emas.

Dia turut terpilih untuk berentap dalam kategori beregu campuran bersama Nur Sara Shahira Firdaus dengan pingat perak diraihnya selepas mencatat kutipan mata 2,462 di belakang dua gandingan Sarawak yang berada dalam dua kedudukan teratas.

Satu lagi pingat gangsa turut direkodkan dalam acara beregu lelaki bersama Mohammad Zuhair Zailani dengan ia membantu Pulau Pinang mengharumkan nama dalam temasya terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram