Habuan atlet perlu, tapi jumlah tak perlu didedah demi fokus pemain — Coach SUKMA Selangor


  • Podium
  • Ahad, 17 Nov 2024

Qusmaini beranggapan pemain perlu memberikan yang terbaik sebelum boleh bertanya mengenai jumlah habuan disediakan. — Instagram/qusmaini

PERUNTUKAN dana dan insentif merupakan satu kebiasaan dalam dunia sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa kerana ia dapat memberi suntikan motivasi kepada atlet.

Meskipun jumlahnya tidaklah terlalu besar, penyediaan bonus itu akan mendatangkan kelegaan buat mereka yang tahu pengorbanan dan titik peluh dicurahkan dalam setiap sesi latihan menerima balasan setimpal.

Namun, terdapat juga kegusaran bahawa pendedahan amaun dijanjikan hanya akan mengganggu fokus atlet untuk meraih habuan berbanding merekodkan pencapaian dalam acara disertai.

BACA LAGI: Teruja tundukkan Lion City Sailors, anak buah Bojan Hodak menari terima habuan RM439

BACA LAGI: Bukan hanya habuan, kebajikan terjaga juga bakar semangat skuad futsal Selangor di SUKMA 2024

A moment that will not be forgotten   @terminal.foto

Skuad futsal Selangor meraih ganjaran berbaloi berikutan kejayaan itu.

Hal itu dipersetujui jurulatih skuad futsal Selangor yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Qusmaini Noor Rosli dengan pandangan perkongsian berlebihan akan membawa kesan terhadap atlet.

"Saya lebih berminat sekiranya jumlah disediakan tidak didedahkan. Maksudnya, ia hanya diberikan setelah mereka memberikan apa yang terbaik di dalam gelanggang. Jangan tanya apa yang kita akan dapat, tetapi kita perlu tunjukkan apa boleh diberikan terlebih dahulu.

"Perkara berkenaan juga satu kebiasaan kerana saya sering memberitahu pemain, kita beri dahulu dan mungkin, pada penghujungnya kita akan dapat ganjaran," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan atlet beranggapan ganjaran dan habuan disediakan adalah antara sumber motivasi mereka selain layanan baik daripada pihak pengurusan.

Perkara itu dibuktikan apabila skuad futsal Selangor menamatkan penantian untuk meraih pingat emas pertama dalam temasya SUKMA selepas beberapa edisi memberikan persembahan terbaik.

SELAMAT DATANG COACH QUSMAINI di RAFHELY FC,Coach Qusmaini akan menjadi ahli taktik dan strategi bagi pasukan Rafhely FC mengarungi Liga Pro Futsal musim 2024-2025. Berikan yang terbaik coach @qusmaini #RafhelyFC #

Qusmaini sudah melebarkan sayap kariernya ke Indonesia. Instagram/qusmaini

Kejayaan tersebut dibalas dengan insentif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yang menyalurkan habuan bernilai RM3,000 bagi setiap pemain dengan terdapat pihak lain juga menyalurkan dana kepada mereka.

"Pemain kebiasaannya sudah tahu kejayaan mereka akan membuahkan hasil kerana masing-masing faham terdapat ganjaran menanti dengan ini merupakan peranan pihak pengurusan.

"Malah, pada saya, tidak perlu terlalu terlampau mewah, tetapi tidak juga sangat rendah. Cuma perlu mencukupi bagi menyuntik semangat dari perlawanan ke perlawanan," katanya lagi.

Kejayaan Selangor dalam SUKMA yang diadakan di Sarawak pada Ogos lalu membuka jalan buat Qusmaini meluaskan lagi karier kejurulatihannya dalam dunia futsal.

Dia kini bergelar pengendali kelab baharu dalam saingan liga futsal Indonesia, Rafhely FC selepas sebelum ini melatih Gombak TOT yang beraksi dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram