Simpati nasib atlet sofbol SUKMA, MSN Selangor tampil biayai kos pembedahan, pemulihan


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Nizam (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Izzul Aniq yang merupakan mangsa kemalangan pada Jun lalu. — Instagram/MSN Selangor

NASIB buruk menimpa seorang pemain sofbol untuk kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, Mohammad Izzul Aniq Mohd Azam yang mengalami kemalangan pada awal Jun lalu.

Insiden itu menyaksikan pemain berkenaan tidak akan dapat mewakili negaranya untuk temasya yang akan berlangsung Ogos depan di Sarawak.

Jadi, untuk meringankan beban yang dipikul atlet tersebut, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor tampil memberikan bantuan terhadap pemain berkenaan.

BACA LAGI: Hapus stigma warga emas main golf dan catur, kapten eMAS harap jadi inspirasi bidang e-sukan

BACA LAGI: eMAS lakar sejarah, diiktiraf pasukan e-Sukan warga emas pertama Malaysia

YBrs. Tuan Mohamad Nizam bin Marjugi, Pengarah Eksekutif MSNS menziarahi Atlet Sofbol SUKMA Negeri Selangor, Mohammad Izzul Aniq Bin Mohd Azam yang telah mengalami kecederaan akibat terlibat dengan kemalangan jalan

Izzul Aniq (kiri) hanya boleh berjalan menggunakan tongkat. Instagram/MSN Selangor

Pengarah MSN negeri, Mohamad Nizam Marjugi yang menziarahi Izzul berkata, pihaknya akan sering bersama-sama pemain itu sepanjang proses pemulihan.

"Syukur, alhamdulillah. Atlet tersebut sudah mula beransur baik. Dia mengalami kemalangan dengan kereta yang menyebabkan patah tulang paha. Buat masa ini, dia sudah boleh berjalan menggunakan tongkat.

"Pihak majlis sudah membantu perbelanjaan kos rawatan pembedahan dan proses pemulihannya boleh dibuat di pusat sains sukan MSN Selangor," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan perkongsian sebelum ini, sofbol merupakan salah satu sukan yang disertai kontinjen SUKMA Selangor dengan ia adalah antara 37 sukan dipertandingkan.

Namun, cabaran hebat perlu ditempuhi pasukan negeri itu sekiranya mahu meraih pingat emas kerana hampir kesemua negeri sudah membuat persiapan rapi untuk memberikan persembahan terbaik.

Dalam pada itu, Nizam berkata, kehilangan Izzul Aniq akan menyaksikan pemain lain terpaksa menggantikannya dengan atlet berkenaan terlepas peluang untuk ke temasya SUKMA kali ini.

"Disebabkan kemalangan tersebut, dia terpaksa melupakan penyertaan ke SUKMA 2024 dan ketiadaannya akan digantikan dengan pemain yang baharu. Pengurusan pasukan sofbol sudah memilih penggantinya," katanya lagi.

Temasya SUKMA Sarawak akan bermula pada 17 Ogos dan berakhir pada 24 Ogos dengan setiap negeri sudah tentu mahu merebut tempat pertama yang dimenangi Johor pada edisi lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram