Masalah padang bukan punca Stadium Shah Alam ditutup — Nizam Marjugi


  • Podium
  • Jumaat, 08 Jul 2022

Nasib Stadium Shah Alam masih menimbulkan tanda tanya meskipun kerajaan Selangor akan mengumumkan sesuatu mengenai pembangunan Stadium Shah Alam bulan ini. — Agensi

APABILA bersembang tentang Stadium Shah Alam, banyak kenangan nostalgia menggamit penyokong bersama stadium keramat bagi pasukan Selangor dan skuad kebangsaan itu.

Tidak keterlaluan menganggap Stadium Shah Alam sebagai rumah kedua buat pasukan Harimau Malaya selepas Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kerana di situ berlakunya pelbagai perlawanan antarabangsa melibatkan beberapa kelab ternama dan pasukan kebangsaan berbeza.

Sering menjadi bahan sindiran peminat pasukan lain gara-gara Red Giants tidak memiliki stadium sendiri, penyokong mahu pihak berkenaan segera bertindak memperbaiki Stadium Shah Alam yang ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan bahawa kerajaan negeri akan merobohkan Stadium Shah Alam yang turut menempatkan kompleks sukan bagi membina stadium baharu.

Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton dan lebih mudah dijaga serta diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300.

Menurut Pengarah Darul Ehsan Facilities Management (DEFM), Mohamad Nizam Marjugi, keadaan Stadium Shah Alam bukanlah seteruk seperti yang diuar-uarkan oleh orang ramai di media sosial.

Bazar-Stadium-Shah-Alam-Beratur-di-Gerai-Chef-Ammar

Di luar kawasan stadium juga masih ada tempahan majlis-majlis yang akan berlangsung. Agensi

"Stadium Shah Alam masih lagi dalam keadaan baik walaupun tidak dibuka kepada orang awam, pihak DEFM masih lagi bertanggungjawab memastikan keadaan stadium diselenggara dan bukan dibiarkan seperti itu.

"Keadaan di luar stadium juga dalam keadaan yang terjaga, jika dilihat kawasan sekeliling seperti rumput, tempat membeli tiket dan lain-lain juga masih lagi baik dan bukannya tidak dijaga," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, diluar kawasan stadium juga masih ada tempahan majlis-majlis yang akan berlangsung dan bukannya pihak DEFM tidak membenarkan mana-mana organisasi atau individu menggunakan perkarangan stadium.

"Untuk mengadakan event di dalam stadium memang kami tidak benarkan kerana faktor keselamatan, tetapi jika di perkarangan stadium masih lagi ada majlis yang dianjurkan oleh mana-mana organisasi atau individu.

"Dengan ini stadium juga tidak dibiarkan begitu sahaja dan bukanlah pihak DEFM menghalang sebarang aktiviti di stadium," ujarnya.

Menurut Nizam keadaan padang di stadium Shah Alam juga berada dalam kondisi yang baik, cuma ketika ini faktor keselamatan punca kenapa ia tidak dibuka kepada orang awam.

"Padang Stadium Shah Alam juga berada dalam keadaan yang baik, cuma tidak dibuka kepada orang awam kerana takut akan serpihan bumbung jatuh terkena kepada orang awam.

"Pihak DEFM juga mengambil kira keselamatan orang awam supaya tidak berlaku sebarang kemalangan yang teruk," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram