TIDAK boleh dinafikan bahawa imbuhan atau ganjaran dijanjikan merupakan antara sumber motivasi dan pemangkin semangat buat mana-mana atlet yang bersaing dalam apa jua kejohanan.
Perkara itu tidaklah mengatakan mereka mempunyai sikap mata duitan sehingga melupakan sasaran sebenar kerana tawaran disediakan sedikit sebanyak dapat menaikkan lagi kesungguhan dalam acara masing-masing.
Ini kerana mereka mahu memastikan pengorbanan dan titik peluh dalam setiap sesi latihan itu berbaloi selain mahu memastikan sukan diceburi boleh menjadi sumber pendapatan sebenar.
BACA LAGI: Main setakat liga domestik, ke mana hilangnya bakat pemain futsal semasa kebangsaan?
BACA LAGI: 'Bawa nama Johor patutnya setanding JDT', prestasi skuad futsal Johor di SUKMA bikin gusar
Zulkifli merupakan antara tonggak utama yang membantu kejayaan skuad futsal SUKMA Selangor. — Instagram/SUKMA Futsal Selangor
Hal itu turut diakui pemain futsal Selangor yang meraih pingat emas semasa temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Zulkifli Abu Hassan Zali dengan dia melihat ganjaran disediakan membakar semangat mereka.
"Apa yang sudah dinyatakan sebelum kejohanan, pihak atasan memang menunaikan janji dan memberikan bonus. Ini juga salah satu sumber semangat kami untuk bergelar juara.
"Ia kerana mereka sudah banyak berkorban untuk kami kerana kami sebagai pemain, aspek kewangan juga penting untuk diri sendiri dan juga keluarga," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan laporan sebelum ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyediakan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih daripada lima orang yang meraih pingat emas.
Jumlah itu sememangnya dianggap berbaloi melihat kepada pengorbanan dibuat pemain dan barisan kejurulatihan yang menghabiskan masa dan tenaga untuk hadir ke sesi latihan.
Skuad SUKMA Selangor jelas berpuas hati selepas menundukkan Sarawak dalam perlawanan akhir. — Instagram/SUKMA Futsal Selangor
"Apa yang pengurusan berikan kami dalam bentuk bonus itu agak berbaloi dengan kami dengan apa dijanjikan. Malah, kami juga terima lebih daripada amaun kami sangkakan pada awalnya," jelasnya lagi.
Dalam temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Selangor yang dikendalikan Qusmaini Rusli menamatkan penantian untuk membawa pulang pingat emas dalam acara itu selepas menundukkan tuan rumah dalam perlawanan akhir.
Menariknya, ia juga merupakan kali pertama mereka meraih sebarang pingat dalam acara itu setelah bertahun-tahun mencuba untuk menjadi pasukan yang digeruni di peringkat kebangsaan.
Jelas Zulkifli lagi, semangat skuad futsal Selangor kian berkobar-kobar berikutan kesungguhan pihak pengurusan yang menjaga kebajikan mereka sepanjang temasya sukan itu.
Skuad SUKMA futsal Selangor juga diraikan dengan sesi makan tengahari bersama pemain Selangor FC, Faisal Halim (tengah). — Instagram/SUKMA Futsal Selangor
"Pengurusan pun bagus juga kerana mereka menyediakan kami penginapan yang selesa di Sarawak kerana pada awalnya kami menetap di sebuah universiti sekitar negeri itu, tetapi panas dan agak teruk.
"Mereka kemudiannya memberikan kami tempat lebih selesa. Itu juga merupakan rahsia kejayaan kerana pemikiran pemain tidak terganggu," katanya lagi.
Pemain yang beraksi dalam posisi pivot itu bukanlah baharu dalam arena futsal negara kerana dia turut mewakili Shah Alam City dalam saingan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL).
Meskipun menjadi watak utama buat skuad SUKMA Selangor, Zulkifli seperti sukar untuk mengulanginya pada edisi akan datang berdasarkan faktor usia dengan dia kini sudah berumur 21 tahun.
Sekiranya terpilih, dia sudah tentu akan memberikan persembahan terbaik memandangkan temasya itu akan diadakan di Selangor pada 2026 dengan mereka berpeluang memenanginya di hadapan penyokong sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram