MELIHAT kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) beberapa edisi kebelakangan ini, kemeriahan semakin dapat dirasai kerana kesemua tuan rumah enggan melepaskan peluang untuk menjadi yang terbaik.
Dalam temasya baru-baru ini, Sarawak yang menjadi destinasi penganjuran tampil dengan kelainan tersendiri apabila majlis pembukaan dan penutup sungguh meriah.
Dari segi teknikal pula, negeri di tanah Borneo itu juga memastikan orang ramai dapat mengikuti perkembangan secara dekat dengan perkongsian cukup menarik dapat disaksikan di media sosial dan media tempatan.
BACA LAGI: Para SUKMA: Baru 2 hari berlangsung, atlet Kedah, Sarawak antara berjaya pecahkan 5 rekod olahraga
BACA LAGI: Mahu terbang jauh, atlet pecut paralimpik Negeri Sembilan idam emas di temasya SUKMA
Temasya SUKMA Sarawak mencetuskan kemeriahan yang berbeza berbanding tahun-tahun lalu.
Namun, perbezaan kurang disaksikan dalam aspek imbuhan atlet yang masing-masing kurang diberikan suntikan dana daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) tersendiri.
Sebagai contoh, Sarawak hanya menyediakan insentif RM15,000 kepada pemenang pingat emas sementara pemenang pingat perak meraih RM5,000 dan RM3,000 disediakan buat peraih gangsa.
Di samping itu, Selangor menjanjikan ganjaran RM10,000 kepada pemenang pingat emas individu, RM5,000 seorang bagi acara berpasukan bawah lima orang dan RM3,000 seorang bagi acara berpasukan lebih daripada lima orang.
Jumlah itu boleh dikatakan agak lumayan, lebih-lebih lagi melihat kepada status rata-rata peserta yang bukanlah atlet sepenuh masa dan hanya mewakili negeri masing-masing semasa penganjuran SUKMA.
MSN Selangor menyediakan imbuhan RM10,000 kepada pemenang pingat emas.
Tetapi, sekiranya hendak dibandingkan dengan negeri-negeri sekitar Asia Tenggara, jumlah itu boleh dikatakan terlalu sedikit dan dikhuatiri dirasakan kurang berbaloi.
Ini kerana sekiranya dilihat di Indonesia, penganjuran Pekan Olahraga Nasional (PON) setiap empat tahun menyaksikan atlet daripada setiap daerah di negara berkenaan dikumpulkan.
Seperti penganjuran SUKMA, imbuhan kepada setiap atlet ditetapkan wilayah diwakili dengan jumlah berbeza ditetapkan, namun rata-rata daripadanya adalah lebih lumayan.
Sebagai contoh, pada edisi tahun ini, wilayah Lampung menyediakan IDR300 juta (RM83,578.20) kepada setiap pemenang pingat emas. Jumlah itu lebih banyak berbanding atlet yang meraih pencapaian sedemikian di SUKMA.
Imbuhan cukup lumayan disediakan bagi pemenang pingat emas KON. — Agensi
Imbuhan paling lumayan dapat disaksikan daripada Sumatera Selatan yang menyediakan bonus mencecah IDR500 juta (RM139,297) kepada atlet yang mengaut emas.
Malah, sekiranya hendak dibandingkan dengan sebuah lagi negara jiran iaitu Thailand, pemenang pingat emas ketika temasya Sukan Kebangsaan ke-48 tahun lalu turut menerima 'durian runtuh'.
Pasukan bola sepak yang mewakili wilayah Surin dibarisi penuntut Universiti Rajabhat Surin merupakan antara yang paling bertuah selepas menerima habuan 400,000 baht (RM51,632.80) atas kejayaan dikecapi.
Meskipun amaun lebih rendah dicatatkan bagi pemenang individu, ia sedikit sebanyak menceritakan negara berkenaan memahami imbuhan berbaloi akan membakar semangat atlet.
Jumlah suntikan kewangan ditetapkan persatuan setiap wilayah bagi Sukan Kebangsaan Thailand. — Agensi
Namun, perkara berkenaan seperti kurang disedari persatuan sukan dan MSN yang berkemungkinan tidak memiliki sumber kewangan kukuh bagi menyuntik keazaman berbeza buat atlet SUKMA.
Sekiranya mereka tahu perbezaan ketara berkenaan, masing-masing sudah tentu mendesak pihak berwajib supaya meningkat habuan ditawarkan sehingga dikhuatiri mematahkan keazaman dalam bidang diceburi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram