KEPUTUSAN Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk memanggil semula pemain yang berada dalam kem pasukan kebangsaan menimbulkan rasa kurang senang daripada peminat bola sepak tanah air.
Ini kerana mereka beranggapan juara bertahan Liga Super itu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga boleh memanggil tiga tonggak pasukan, iaitu Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matt Davies.
Namun, tampil menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards yang menegaskan panggilan semula itu dibuat kerana terdapat kekangan masa bakal dialami.
BACA LAGI: Campuran bintang Latin, bekas bek K-League sesuai dengan cadangan Alistair Edwards
BACA LAGI: Pampasan Akhyar Rashid, Kedah nafi dakwaan Alistair Edwards
JDT tampil memberi penjelasan atas keputusan memanggil semula tiga pemain dari kem Harimau Malaya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Kami dijadualkan berlepas ke China pada 21 November, yang mana hanya sehari setelah pemain-pemain kebangsaan pulang selepas perlawanan Harimau Malaya menentang India pada 18 November," tulisnya.
Pada Khamis, Arif Aiman dan Matt Davies berada dalam kesebelasan utama ketika skuad ketika skuad kebangsaan menumpaskan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan di Bangkok, Thailand.
Feroz bagaimanapun tidak diturunkan kerana pengendali pasukan, Pau Marti Vicente meletakkan gandingan Dion Cools dan Harith Haiqal sebagai bek tengah sementara Adib Raop beraksi di posisi pertahanan sayap kiri.
Meskipun tidak memberi impak diharapkan, mereka sudah tentu diharapkan diturunkan bagi pertembungan dengan India di Hyderabad, India pada Isnin depan dengan kemenangan diperlukan bagi memacu kedudukan negara dalam ranking FIFA.
Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat Arif Aiman ketika berdepan India. — Facebook/FAM
Sekiranya perkara itu berlaku, ketiga-tiga pemain berkenaan pasti tidak dapat waktu berehat mencukupi menjelang aksi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) Rovers pada Rabu depan.
Selepas itu, JDT akan berkelana ke China bagi persiapan untuk aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite pada 26 November dengan tiga mata mahu dibawa pulang.
"JDT mengambil serius kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar dilakukan musim ini dengan harapan dapat menjalani kempen dengan cemerlang yang bukan sahaja akan meningkatkan status kelab di Asia, tetapi juga meningkatkan ranking Malaysia dalam kejohanan kelab Asia.
"Ia akan memberikan manfaat buat bola sepak Malaysia kerana lebih banyak kelab boleh beraksi di kejohanan elit Asia pada musim-musim akan datang," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram