KIRA-KIRA tiga minggu lagi sebelum kejohanan Piala Asean 2024 bermula, pasukan bimbingan Pau Marti Vicente nampaknya sudah memberikan bayangan skuad yang bakal menjadi percaturan pengendali itu.
Hal ini kerana, pemerhati bola sepak tanah air iaitu Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan kemungkinan besar Harimau Malaya bakal tampil dengan barisan pemain berbeza pada kejohanan yang berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu.
BACA LAGI: 'Ikut Tomi balik kampung ke?', fans Terengganu 'detect' kehilangan pemain import
BACA LAGI: [VIDEO] 'Faisal Halim is back', jaringan latihan berkelas dunia ubat kerinduan penyokong
“Skuad B23 negara campuran pemain senior yang dapat pelepasan dijangka jadi taruhan ke Piala Asean 2024 susulan baki saingan Liga Malaysia musim ini tetap akan diteruskan ketika Piala Asean berlangsung bermula 8 Disember depan,” katanya memetik ciapan di laman X.
Perubahan skuad yang dilakukan Pau Marti itu pastinya dibuat selepas tarikh kejohanan Piala Asean iaitu pada 8 Disember hingga 5 Januari depan bertindih dengan aksi Liga Super Malaysia.
Selain kemungkinan kehilangan khidmat pemain kelab lain, Harimau Malaya juga dijangka akan terlepas khidmat pemain utama dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor susulan komitmen dalam saingan di pentas Asia iaitu Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan ACL2.
Dengan keadaan memaksa kemungkinan skuad kebangsaan kehilangan bintang utama, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang boleh dipanggil Pau Marti dalam kejohanan Piala Asean 2024.
1) Gabriel Nistelrooy
Nistelrooy kini memegang status penjaring terbanyak Piala MFL dengan 14 jaringan direkodkan. — Facebook/JDT
Penyerang JDT II, Gabriel Nistelrooy antara pemain muda tempatan yang wajar diberi peluang untuk mendapatkan kaps bersama skuad kebangsaan pada aksi Piala Asean 2024, Disember ini.
Hal ini kerana, pemain berusia 24 tahun berkenaan berhasil membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila kini mengungguli takhta penjaring terbanyak Piala MFL 2024-2025.
Gabriel yang telah mencetak 14 jaringan gol di pentas Piala MFL masih belum berpeluang menembusi skuad utama JDT dan disebabkan itu, ramai penyokong berharap agar pemain kelahiran Sarawak tersebut akan mendapat peluang menyinar bersama Harimau Malaya.
Pau Marti boleh menaikkan pangkat Gabriel ke Harimau Malaya sekiranya penyerang seperti Syafiq Ahmad, Darren Lok dan Romel Morales tidak mendapat pelepasan kelab pada kejohanan berkenaan.
2) Shahrul Nizam
Shahrul Nizam sudah merekodkan 104 penampilan buat skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC
Pertahanan tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni hadir dengan reputasi sebagai seorang yang cukup konsisten, pemain mesra dengan sapaan 'Nijey' itu masih belum pernah diberikan minit permainan bersama skuad senior kebangsaan.
Kali terakhir pemain berusia 26 itu mendapat panggilan ke kem latihan pusat pada perlawanan persahabatan di Jordan pada 2021 namun Shahrul Nizam gagal melapor diri kerana dia turun ke laut bagi melakukan aktiviti mencandat sotong.
Bek tengah berketinggian 1.75 meter yang sehingga kini sekadar menghiasi Senarai Bersedia Harimau Malaya itu dijangka akan mendapat pelepasan Terengganu untuk mewakili negara dalam Piala Asean 2024.
Hal ini kerana, Terengganu masih memiliki varian pertahanan untuk mengisi posisi Shahrul Nizam dan antaranya ialah Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul dan Argzim Redzovic. Nijey juga pasti menunggu namanya mewakili Malaysia.
3) Farhan Roslan
Farhan konsisten menampilkan persembahan cemerlang bersama The Rhinos. — Facebook/Sabah FC
Penyerang sayap Sabah FC, Farhan Roslan sesuai menjadi pilihan Pau Marti pada kejohanan Piala Asean 2024 selepas musim ini cemerlang membantu The Rhinos mengekalkan prestasi konsisten.
Walaupun tonggak yang juga mampu beraksi di posisi tengah itu banyak dimasukkan sebagai pemain gantian namun Farhan sama sekali tidak mensia-siakan peluangnya untuk memberikan aksi cemerlang.
Buktinya, pemain kelahiran Alor Setar berhasil mencetak dua jaringan gol dalam tujuh perlawanan buat The Rhinos. Farhan juga akhirnya dilabel sebagai 'game changer' dalam pasukan Sabah FC.
Kali terakhir Farhan mewakili pasukan senior kebangsaan ialah pada 2019, ketika Malaysia menentang Tajikistan bagi aksi persahabatan yang menyaksikan Harimau Malaya mencatat kemenangan 1-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram