Hujan di Bangkok halang Pau Marti serlah kebijaksanaan, wajar turunkan pemain muda jumpa India


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Harimau Malaya selepas ini akan bertemu India bagi aksi persahabatan pada 18 November. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan menepati ramalan apabila tidak bermasalah mencatat kemenangan dengan keputusan 3-1 ke atas Laos pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium PAT di Bangkok, Thailand pada Khamis.

Perlawanan berkenaan sedikit merencatkan permainan Harimau Malaya susulan mereka perlu bermain dengan keadaan padang yang ditakungi air akibat cuaca hujan lebat membasahi bumi Bangkok.

Pun begitu, jaringan Harith Haiqal dan dua penalti dari Stuart Wilkin dan pemain Sri Pahang FC iaitu Sergio Aguero menyelamatkan Malaysia untuk meraih kemenangan ke atas pasukan ranking 187 dunia itu.

BACA LAGI: Wan Kuzain antara 2 senarai 'bocor', cuma masih belum dapat restu fans Harimau Malaya

BACA LAGI: Lemau lawan Laos, fans anggap Harimau Malaya bernasib baik menang 2 penalti

Keadaan padang berlecak sehingga mengganggu permainan anak-anak buah Pau Marti Vicente juga dipersetujui oleh pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, apabila menyifatkan ia tidak menyerlahkan kebijaksanaan pengendali interim itu.

Pekan berkata, adalah tidak adil untuk melabel permainan yang ditampilkan Harimau Malaya dalam kelompok teruk rentetan keadaan padang juga tidak mengizinkan untuk mereka memberikan rentak permainan berintensiti tinggi.

"Keadaan padang menyebabkan banyak sangat bola yang tersekat-sekat dan itulah mengganggu rentak permainan. Ia tidaklah menunjukkan kualiti permainan yang seperti mana yang kita harapkan walaupun menang.

"Mungkin orang melihat jaringan kita pun semuanya bukan open game apabila satu gol dari sepakan penjuru dan dua penalti tapi tidak adil kalau kita nak katakan kita main teruk malam.

"Keadaan padang seolah-olah membuka segala kelemahan yang kita ada. Permainan Harimau Malaya boleh jadi lebih baik kalau keadaan padang lebih baik kan," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Pekan menasihatkan agar Pau Marti memberi fokus untuk menurunkan pemain muda tempatan dalam perlawanan persahabatan menentang India di Hyderabad pada 18 November ini.

Cadangan Pekan itu dikemukakan kepada pengendali Sepanyol itu untuk mempersiapkan pasukan tanah air ke Kejohanan Asean 2024 (Piala AFF) akan berlangsung pada 23 November sehingga 21 Disember.

"Saya lebih suka kalau dia (Pau Marti) menurunkan pemain muda untuk memberikan pendahan supaya mempersiapkan langkah pasukan kita mungkin untuk Piala AFF nanti. Dengan status India lebih baik, wajar untuk berikan peluang kepada pemain-pemain muda.

"Walaupun tak meletakkan harapan yang tinggi di Piala AFF tapi maruah kita pun kena jaga juga, sebab itu kena sediakan pasukan. Jangan takut sangat kita kalah, tak perlu takut kalah dan risau jika ranking jatuh terlalu bawah.

"Oleh itu, Pau Marti perlu bersedia dari sekarang dan kalau dia ada senarai pemain yang ingin diturunkan untuk Piala AFF, berikan peluang ketika menentang India," tambahnya.

Percaturan menurunkan pemain muda adalah digalakkan oleh Pekan selepas ada kemungkinan tiada pemain JDT dan Selangor akan dibawa ke kejohanan itu kerana komitmen dalam saingan di pentas Asia susulan saingan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) serta ACL2 untuk Gergasi Merah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram