INSIDEN kontroversi membabitkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi baru-baru ini, turut menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak Indonesia.
Arif Aiman terlibat dalam pertelingkahan bersama bek kiri Perak FC iaitu Tommy Mawat Bada dalam aksi Liga Super musim 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad, yang berakhir dengan kemenangan 5-0 berpihak kepada JDT.
Insiden itu mencemarkan nama baik Arif Aiman sehingga ke Indonesia selepas aksi pemain sayap kanan Harimau Selatan berkenaan dikesan seakan-akan menghalakan tangannya ke arah muka Tommy.
BACA LAGI: [VIDEO] LTK rupanya watak penting tarik Hadi Fayyadh ke Perak
Kelakuan ganas yang ditunjukkan Arif Aiman itu menyebabkan timbul naratif bahawa karier pemain kebangsaan berkenaan akan tamat tidak lama lagi dalam kalangan penyokong negara jiran.
"Tamat sudah karier Arif Aiman, wonderkid yang begitu diagungkan oleh penyokong Malaysia selepas pemain itu terlibat dalam pergaduhan. Aksi cemerlang Arif di pentas Asia sempat menjadi topik perbincangan hebat.
"Warganet Malaysia menyebutnya sebagai Messi dari Malaysia iaitu jolokan berprestij. Jolokan itu semakin menghilang selepas Arif Aiman dikesan memukul pemain Perak FC, dia dilhat beberapa kali menghayunkan tangannya kepada bek Perak FC, Tommy.
"Ia jelas menjejaskan namanya. Harus diakui bakat besar seperti Arif Aiman menunjukkan teladan dan bukan terlibat dalam hal yang merugikan dirinya dan pasukan. Kenapa begitu pemain yang dibanggakan Malaysia?," kata laman penyokong Indonesia, Stars Football.
Kenyatan dari laman Facebook tersebut dianggap memandai-mandai oleh penyokong domestik kerana satu insiden sebegitu rupa tidak boleh menggambarkan keperibadian Arif Aiman secara keseluruhannya.
Malah, prestasi Arif Aiman bersama JDT yang sudah membantu Harimau Selatan mencetak empat gol di kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ketika ini membuktikan pemain berusia 22 tahun itu masih permata bola sepak tanah air.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kertas pertuduhan membabitkan kes pergaduhan di antara Arif Aiman dan Tommy Mawat itu telah pun dihantar oleh Sekretariat Agung FAM kepada kelab masing-masing, JDT dan Perak FC pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram