PASUKAN-PASUKAN Liga Malaysia kini terus mengulangi skrip musim lalu apabila sudah ada beberapa kelab tidak membayar gaji pemain masing-masing.
Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara pasukan yang menjadi topik utama media selepas dilaporkan lebih lima bulan tidak melunaskan gaji pemain.
Terbaharu, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pula dikaitkan dengan pasukan yang tidak melunaskan tanggungjawab dengan membayar gaji pemain-pemain.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas orang kuat Jose Mourinho calon paling sesuai duduk kerusi no.1 Selangor FC
BACA LAGI: [VIDEO] 'Format dah tak menarik', belum mula tapi fans umum JDT juara Piala Malaysia 2024
Masalah yang berlaku kepada beberapa pasukan ini membuka ruang untuk kelab seperti Selangor FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu untuk menyambar pemain mereka yang bergelar bintang.
Majoriti senaraikan tiga pemain yang mungkin diperhati rapat oleh kelab-kelab Liga Malaysia bagi saingan musim depan:
1. Haqimi Azim Rosli
Penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim Rosli antara bintang yang mungkin menarik perhatian ramai kelab-kelab Liga Super
Memiliki ketinggian fizikal yang ideal, Haqimi berpotensi untuk menjadi barisan hadapan buat pasukan seperti Selangor FC dan Terengganu FC.
Malah, Haqimi sebelum ini pernah mendedahkan mahu keluar untuk menyertai pasukan lain demi minit permainan.
Meskipun masih memiliki baki kontrak dua tahun bersama pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu, Haqimi Azim bagaimanapun tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk berhijrah ke pasukan lain.
2. Fazrul Amir
Usaha keras pemain KDN FC, Fazrul Amir Md. Zaman akhirnya berbaloi apabila bakatnya dipandang oleh jurulatih interim Harimau Malaya, Pau Marti Vicente.
Fazrul Amir sebelum ini diletakkan dalam senarai pemain bersedia skuad kebangsaan dan namanya dipanggil bagi menggantikan Mukhairi Ajmal yang terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan.
Untuk rekod, Fazrul Amir merupakan pemain pertama dari pasukan yang berpangkalan di Kelantan berhasil menyertai skuad kebangsaan sejak 2018 iaitu selepas Shafiq Shaharudin menyarung jersi Harimau Malaya.
Dengan status pemain kebangsaan, Fazrul Amir akan memikat ramai kelab untuk mendapatkan khidmatnya.
3. Ariff Farhan
Rekod Sang Kenari dalam Liga Super musim ini begitu mengecewakan selepas mereka mengalami enam kekalahan di samping merekodkan hanya empat kemenangan.
Namun begitu mutu pemain pertahanan kiri, Ariff Farhan musim ini menceritakan sebaliknya apabila dia cemerlang setiap kali diturunkan oleh Nafuzi Zain.
Persembahan dibuktikannya itu menjadikan pemain berusia 27 tahun berkenaan sebagai salah seorang pemain yang akan diintai banyak pasukan terutama sekali Selangor FC yang bergelut untuk memperbaiki barisan pertahanan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram