HARIMAU Malaya akan berlepas ke India tanpa tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) membabitkan Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin selepas kelab mereka memohon pelepasan pulang ke tanah air lebih awal.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa khidmat ketiga-tiga pemain itu diperlukan bagi mengharungi pusingan 16 Piala Malaysia pada 20 November ini.
Kehilangan tiga pemain Harimau Selatan itu menyaksikan hanya 23 pemain Harimau Malaya ke akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin, 18 November 2024.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Faisal Halim is back', jaringan latihan berkelas dunia ubat kerinduan penyokong
“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka itu.
“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai skuad 23 pemain Harimau Malaya untuk terbang ke Hyderabad dari Bangkok, malam ini,” memetik kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu pada Sabtu.
Ketiadaan tiga pemain berkenaan sudah pastinya menimbulkan pelbagai reaksi daripada penyokong tanah air, misalnya ada yang menyalahkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana disifatkan tidak arif dalam membuat jadual.
“Aku tak rasa JDT nak guna tiga pemain ini sangat jumpa KL Rovers nanti. Banyak lagi pemain JDT yang boleh ganti tempat mereka. Ini mesti JDT tak puas hati dekat MFL, buat jadual tidak fikir pemain yang wakil negara. Pasukan lain boleh main Jumaat Sabtu, kenapa ini main Rabu," kata penyokong domestik, Mohd Husna Rumzan.
"Kartun betul MFL," komen salah seorang penyokong Harimau Malaya, Shahrul Faiz Pilus.
"Itu kesalahan MFL sendiri. Kenapa buat jadual bertindih dengan perlawanan Malaysia. Kalau pemain kelab cedera, bukan MFL nak tanggung," tambah seorang lagi penyokong bola sepak tanah air, Modiun Garakan.
Ini bukan pertama kali pengelola bola sepak tanah air tersebut mendapat kritikan berhubung jadual Liga Malaysia (Liga M) kerana sebelumnya MFL belum dapat mengeluarkan jadual penuh berikutan perubahan tarikh Piala AFF pada Disember depan.
Melihat pada sudut positif, kehilangan tiga pemain ini akan memberi peluang kepada pemain lain untuk mengisi posisi kesebelasan utama dalam perlawanan menentang India pada Isnin depan.
Perlawanan menentang India penting untuk mempersiapkan pasukan tanah air ke Kejohanan Asean 2024 (Piala AFF) akan berlangsung pada 8 Disember hingga 5 Januari depan, selain akan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram