JOHOR Darul Takzim (JDT) mengesahkan akan membawa tiga lagi pemain import baharu menjelang saingan musim 2024/2025 sebagai langkah untuk memperkukuhkan skuad depth bagi saingan domestik dan kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
Kehadiran tiga bintang import baharu berkenaan dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards yang menyatakan mereka akan mengisi kekosongan di beberapa posisi sambil memaklumkan kehadiran semula bekas pemain dari Argentina, Fernando Forestieri.
Forestieri menjaringkan 47 gol dan 21 bantuan jaringan menerusi 69 penampilan dengan JDT. —Facebook/JDT
“Berikutan perbincangan bersama pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Fernando Forestieri dan saya sendiri, penyerang tersebut akan kekal dalam skuad Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT).
“Serta tiga pemain antarabangsa baharu akan mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024-25,” kata Alistair menerusi kenyataan pada Ahad.
Pengumuman terbaharu Harimau Selatan itu mengesahkan bahawa JDT mempunyai rancangan tersendiri untuk membawa masuk pemain import baharu sambil berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan kelab itu.
Bercakap mengenai tiga pemain antarabangsa yang bakal menyarung jersi Harimau Selatan berkenaan, penyokong JDT juga sudah mula menyebut beberapa nama bintang luar negara sebagai calon tonggak baharu pasukan.
BACA LAGI: JDT buat U-turn, rekrut semula Forestieri dan pakej 3 import baharu
1) Manuel Hidalgo
Hidalgo (kiri) memainkan peranan penting dalam membantu skuad Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC
Penyerang sayap sensasi, Manuel Hidalgo kebelakangan ini dikatakan bakal meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas setahun menabur bakti dengan Sang Kenari dan Harimau Selatan difahamkan akan menjadi destinasi terbaharunya.
Bercakap menyenai pemain di bahagian serangan, Hidalgo antara import yang konsisten dengan gaya permainan menakjubkan sebagai tonggak sayap dan ia mula menyerlah sejak menyarung jersi Sri Pahang pada musim 2021.
Dalam 24 penampilan Liga Super yang direkodkannya bersama pasukan kendalian Nafuzi Zain pada musim lepas, bekas pemain Sheffield Wednesday itu mencatatkan 10 bantuan jaringan selain menjaringkan tiga gol peribadi.
Sekiranya, Hidalgo berhijrah ke Harimau Selatan, pemain berusia 24 tahun itu mampu menggunakan kelincahan dan kebolehannya membawa bola mampu memberi pilihan kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Hector Bidoglio.
2) Kevin Ramirez
Musim terbaik Ramirez adalah ketika menyarung jersi kelab Uruguay, Club Nacional. —X/Nacional
Pemain sayap dari Uruguay, Kevin Ramirez yang kini berstatus ejen bebas selepas dilepaskan oleh kelab Uruguay, Defensor Sporting Club pada awal Januari lalu dikhabarkan akan menyertai era baharu transformasi Harimau Selatan untuk saingan Liga Super musim depan.
Khabar angin mengenai Ramirez bagaimanapun kurang mendapat sambutan penyokong susulan prestasinya yang berada dalam keadaan kurang menjanjikan apabila hanya menjaringkan tiga gol dan tiga hantaran bantuan dalam 13 perlawanan bersama Defensor Sporting Club.
Musim terbaik Ramirez ialah ketika mewakili Club Nacional selama tiga musim bermula 2015/2016 apabila tampil dalam 80 perlawanan dengan 13 jaringan dan 11 hantaran bantuan sepanjang empat musim berada di kelab itu.
Jika Harimau Selatan menjadi destinasi baharu Ramirez, ia bakal menjadi pengalaman pertama dia beraksi di Asia dan pastinya tekanan menanti buatnya sama ada boleh mengadaptasi suasana serta budaya Liga Malaysia ataupun hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.
BACA LAGI: [VIDEO] Demi harumkan nama negara, bintang JDT 'fight' sampai patah hidung
3) Sasalak Haiprakhon
Sasalak pernah menyertai Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan K League 1. — Agensi
Tidak seperti nama dua pemain di atas, Sasalak Haiprakon dari Buriram United bukanlah dikaitkan dengan Harimau Selatan namun pemain Thailand itu dilihat boleh menjadi calon bek kiri untuk menjadi pemain sandaran kepada Corbin Ong.
Kehadiran pemain kebangsaan Thailand berkenaan dapat mengurangkan beban kepada Corbin sekiranya terlalu keletihan susulan sering digunakan sebagai pemain utama untuk posisi tersebut.
Pengalaman rakan sekumpulan Dion Cools bersama Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan K League 1 pada musim 2021 mungkin boleh digunakan JDT untuk memberi saingan kepada pasukan gergasi Korea Selatan dalam ACLE musim depan.
Selain pengalaman beraksi di Jeonbuk, kontrak bek kiri Buriram United itu juga semakin menemui penghujungnya apabila hubungan Sasalak dan juara Liga Thai itu difahamkan akan berakhir pada Jun 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram