Pampasan Akhyar Rashid, Kedah nafi dakwaan Alistair Edwards


  • Podium
  • Sabtu, 20 Nov 2021

PERPINDAHAN Akhyar mencetus konflik pembayaran pampasan antara KFA dan JDT. — The Star

KENYATAAN Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards yang menyatakan KFA tidak berhak untuk mendapat pampasan bagi kos latihan dan pembangunan bekas pemainnya, Akhyar Rashid adalah tidak benar.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron yang menyatakan bahawa perkara berkenaan ditetapkan melalui Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, dia mengambil maklum berkenaan satu hantaran media sosial di Johor Southern Tigers yang dikeluarkan Pengarah Teknikal JDT FC, Alistair Edwards bertarikh 19 November 2021.

"Walaupun pertikaian antara KFA dan Akhyar berhubung kontrak pemain telah pun diputuskan dan selesai, KFA masih lagi berhak menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar daripada JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM.

"Untuk makluman Alistair, beberapa isu perlu dipertimbangkan melalui kesemua kronologi berkaitan kes KFA dan Akhyar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan kes KFA dan JDT di Jawatankuasa Rayuan FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu, ada proses perbincangan yang dilakukan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan bersesuaian daripada JDT yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.

"Setiap tindakan yang diambil KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman dan KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

"Alistair diminta untuk menyemak semula segala fail dan memahami setiap keputusan berkaitan kes berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," ujarnya.

Terdahulu, Presiden KFA, Datuk Seri Sanusi Md Noor pada Khamis mendakwa JDT masih belum menjelaskan pampasan yang sepatutnya dibayar kepada KFA berhubung perpindahan kontroversi Akhyar ke kelab berkenaan pada 2018.

Susulan itu, dalam kenyataan balasnya, Alistair memaklumkan JDT bersetuju membayar RM100,000 sebagai yuran pembangunan, namun cek bertarikh 31 Disember 2018 itu telah dipulangkan KFA yang mahu membuat rayuan kepada AIAC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram