KENCANG bertiup khabar angin di media sosial kebelakangan ini mengatakan penyerang sayap skuad Sang Kenari, Sony Norde akan meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan akan datang.
Dia dilaporkan bakal berhijrah ke kelab Indonesia yang sekali gus akan menyaksikan tempoh lima musim dihabiskan Liga Super berakhir dengan beberapa kelab pernah diwakilinya, termasuk Terengganu FC dan Melaka United.
Faktor atas keputusannya untuk mencari majikan baharu itu tidak didedahkan, namun masalah kewangan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh dikatakan antara punca utama yang mendesaknya.
BACA LAGI: 'Doa-doa dia ada kemampuan, jangan scam', Sanusi buka mulut isu pengambilalihan KDA
BACA LAGI: 'Jangan jadi lalat', KDA FC diingat tak sia-siakan dana tambahan
Sony Norde pernah mewakili beberapa kelab Liga Super sepanjang kariernya. — Facebook/Terengganu FC
Namun, ura-ura perpindahan berkenaan menimbulkan sedikit persoalan kerana sepanjang kariernya, import kelahiran Haiti itu tidak pernah berkelana ke Indonesia dengan pelbagai negara Asia pernah menjadi destinasi permainannya.
Bagaimanapun, sekiranya ditanya penyokong Kedah, perpindahan pemainnya ke mana-mana kelab di negara seberang tersebut bukanlah sesuatu yang baharu melihat kepada rekod tahun-tahun kebelakangan ini.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, tiga pemain luar negara skuad Hijau Kuning pernah memilih untuk ke Indonesia bagi menyambung karier masing-masing sejurus selepas meninggalkan pasukan mereka itu.
1. Jonathan Bauman
Pada musim 2019, Kedah mengambil keputusan cukup menarik untuk membawa masuk pemain kelahiran Argentina, Jonathan Bauman untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan.
Pemain itu disambar dari kelab Indonesia, Persib Bandung dengan harapan kehadirannya dapat mengisi kekosongan ditinggalkan Paulo Rangel yang pulang ke Brazil serta Akhyar Rashid yang berkelana ke Johor Darul Ta'zim (JDT).
Meskipun hadir dengan reputasi cemerlang buat skuad Pangeran Biru, penyerang berkenaan bergelut untuk mengulangi sentuhannya buat skuad Sang Kenari yang sedikit bergelut sepanjang musim.
Bauman gagal meneruskan prestasi cemerlang buat skuad Sang Kenari.
Kecewa akan prestasinya yang tidak menentu, Kedah kemudian mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya pada penghujung musim dengan ia membuka ruang buatnya berkelana.
Bauman akhirnya memilih untuk kembali ke Indonesia dan menyertai Arema FC yang ketika itu dikendalikan bekas jurulatih JDT, Mario Gomez meskipun kelab tersebut mempunyai lambakan penyerang.
Khidmatnya buat pasukan itu juga tidak berpanjangan dengan Liga 1 Indonesia digantung akibat penularan wabak Covid-19 dengan pemain itu kemudian berkelana ke pelbagai liga seperti di Ecuador dan Argentina.
2. Fernando Rodriguez
Selain Bauman, Kedah juga mengambil keputusan menyambar seorang lagi import dari kelab Indonesia pada musim 2019 dengan pemain kelahiran Sepanyol, Fernando Rodriguez.
Bekas pemain kelab LaLiga, Sevilla itu dibawa masuk dari Mitra Kukar yang merupakan pasukan di liga bawahan, namun fizikal dan kebolehannya mencuri perhatian skuad Sang Kenari.
Keputusan itu juga membuahkan hasil kerana tidak seperti Bauman, Rodriguez menjadi watak penting buat skuad Sang Kenari sehingga membantu mereka menjuarai Piala FA 2019 selain mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Fernando Rodriguez menjadi salah seorang watak penting skuad Sang Kenari.
Namun, pada penghujung musim tersebut, kontraknya tidak disambung apabila pemain berkenaan disambar JDT yang berminat dengan kebolehannya secara menyeluruh, terutamanya dalam aspek serangan.
Tetapi, lambakan pemain import dalam skuad Harimau Selatan menyaksikannya diletakkan dalam pasukan simpanan dengan dia berjaya meneruskan prestasi cemerlang.
Rodriguez kini masih beraksi secara profesional buat kelab liga bawahan Sepanyol, Real Jean FC meskipun usianya sudah mencecah 37 tahun dan sudah beraksi di beberapa negara.
3. Renan Alves
Seorang lagi import yang dibawa masuk Kedah dari Liga Indonesia pada jendela perpindahan 2019 ialah bek tengah kelahiran Brazil, Renan Alves dengan dia sebelum itu beraksi buat Borneo FC.
Kemasukan pemain kental berkenaan sememangnya digemari penyokong kerana dia boleh memperkukuhan barisan pertahanan pasukan di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak dari Singapura.
Selain itu, pemain berkenaan dilihat sebagai gandingan terbaik bersama bek senior, Khairul Helmi Johari dengan masing-masing amat diharapkan dapat melengkapi antara satu sama lain.
Renan Alves merupakan nadi pertahanan skuad Sang Kenari selama tiga musim. — Facebook/KDA FC
Harapan tersebut sememangnya direalisasikan dengan kebolehan import Brazil itu sukar dinafikan, namun kekerapan Renan melakukan kesilapan membuatkan pandangan penyokong mengenainya berbelah bahagi.
Sebagai contoh, dalam kempen kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020, pemain terbabit pernah dibuang padang ketika berdepan FC Seoul pada separuh masa pertama yang kemudian menyaksikan pasukannya tewas 1-4.
Bagaimanapun, kelekaan demi kelekaan berkenaan tidak menjejaskan kariernya bersama skuad Sang Kenari kerana khidmatnya dikekalkan sehingga musim 2021 dengan 42 penampilan sempat direkodkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram