SEHINGGA kini, masa depan Kedah Darul Aman (KDA) FC masih samar-samar kerana pihak pengurusan kelab tidak memberi sebarang kenyataan mengenai situasi sebenar mereka.
Pasukan itu sebelum ini dilaporkan mengalami isu kewangan serius sehingga menyaksikan pemain bertindak memboikot sesi latihan sehingga tunggakan gaji diselesaikan.
Tetapi, baru-baru ini, pemilik kelab tersebut, Tan Sri Mohd Daud Bakar difahamkan sedang mencari solusi terhadap kemelut itu dengan mencari sumber kewangan dari Timur Tengah.
BACA LAGI: Anda semua akan menolak Sang Kenari terbang tinggi — Daud Bakar
BACA LAGI: KDA FC percaya Sanusi mampu beri solusi kemelut kewangan
Daud Bakar berusaha mencari jalan penyelesaian buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Usaha berkenaan dilaporkan sudah dilancarkan selepas usahawan tanah air itu hadir ke rantau tersebut untuk bertemu individu tidak didedahkan yang difahamkan berminat membuat pelaburan.
Selain itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dilaporkan bersedia untuk membantu skuad Sang Kenari dengan presidennya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meluahkan hasrat berkenaan secara terbuka baru-baru ini.
Meskipun tidak menjelaskan dana yang akan disediakan, bantuan pihak tersebut sudah tentu amat dihargai memandangkan mereka mampu menerima sumber kewangan daripada kerajaan negeri.
Namun, timbul spekulasi mengatakan dana diperolehi tidak akan digunakan sebaiknya sehingga mendatangkan kerugian kepada pihak pengurusan yang cukup bersungguh-sungguh demi kelangsungan KDA FC.
Hal itu disuarakan seorang pengguna Facebook, Al Syarif dalam kumpulan KDA FC Fans yang menceritakan bagaimana suntikan kewangan diperolehi sebelum ini disalurkan ke arah pihak tidak sepatutnya.
Sanusi difahamkan bersedia membantu skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
"RM2 juta 'done'! RM40 juta dalam perjalanan! Panglima dan pemengang saham lain yang atas kertas sahaja tu, ingat pesanan ini! Jangan jadi lalat hurun tahi!" tulisnya.
Meskipun penulisan itu cukup tersirat, ia boleh dianggap sebagai satu teguran kepada pihak pengurusan kelab kerana sebelum ini, mereka pernah menerima tajaan RM2 juta daripada ALX yang merupakan syarikat pakaian tempatan.
Suntikan kewangan tersebut diterima pada Mac lalu dengan ia disalurkan bagi penajaan kit selama dua musim bermula 2024/25 yang akan menyaksikan skuad Sang Kenari mengenakan jersi ciptaan jenama terbabit.
Sumber diterima itu bagaimanapun masih tidak mencukupi untuk menampung kos operasi bulanan pasukan yang pasti mencecah jutaan ringgit melihat kepada kualiti skuad ketika ini.
Di samping itu, Kedah yang masih tidak memiliki penaja utama masih bergelut untuk memastikan isu tunggakan gaji tidak berlaku meskipun pelbagai usaha sudah cuba dilancarkan.
JIka skuad Sang Kenari menerima dana sehingga RM40 juta itu, mereka diharapkan dapat kembali ke landasan untuk menjadi salah sebuah pasukan terbaik Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram