'Kesulitan di luar hanya kami yang tahu', tonggak tengah Kedah buka mulut di sebalik ‘kegembiraan’ atas padang


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Kem skuad Sang Kenari terus bergolak akibat masalah kewangan serius yang melanda. — Facebook/KDA FC

KEMELUT kewangan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak perlu diperkatakan lagi apabila hampir kesemua pemain sudah meluahkan kekecewaan akan isu yang seperti tidak berpenghujung itu.

Meskipun tahu tindakan akan dikenakan, perkongsian di media sosial dilihat seperti satu langkah terbaik untuk mengurangkan tekanan dirasai dengan harapan penyokong tidak mempersalahkan mereka sekiranya terdapat kemerosotan di atas padang.

Baru-baru ini, seorang lagi tonggak skuad Sang Kenari bertindak berbuat demikian, iaitu Amirul Hisyam Awang Kechik yang mengatakan hanya pemain yang tahu akan bebanan dirasai.

BACA LAGI: Anggap gol jumpa Kedah yang terbaik, Paulo Josue kekal komited bersama KL City

BACA LAGI: Jualan tiket lawan TFC rendah, 'signal' buat pengurusan Sang Kenari — Bekas pemain Kedah

WhatsApp Image 2024-10-24 at 2.15.32 PM

Tangkap layar daripada luahan dibuat Amirul Hisyam di laman Instagram peribadinya.

"Di setiap kegembiraan di atas padang (yang) orang boleh nampak, tetapi kesulitan di luar hanya kami yang tahu. Sampai bila nak jalan? Risau takut rebah sahaja ni," tulisnya.

Perkongsian itu dibuat berserta sekeping gambar memaparkan kesemua pemain skuad Sang Kenari dilabel sebagai 'Man of the Match' berikutan kemenangan dicatatkan ke atas Terengganu FC.

Kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Sony Norde berkenaan sedikit sebanyak membawa kelegaan memandangkan kelab Utara tanah air berkenaan melonjak ke tangga ke-10 Liga Super.

Penyokong juga sudah tentu dapat melakar senyuman atas keputusan memberangsangkan itu kerana kali terakhir mereka meraih tiga mata penuh adalah pada 12 Julai lalu ketika berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

464310135_584801107234404_2627572967908707879_n

Amirul Hisyam merupakan tonggak utama skuad Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, bagi pemain termasuk Amirul Hisyam sendiri, mereka pasti mengharapkan kemenangan berkenaan dapat membawa berita baik terhadap masalah gaji yang dialami.

Pemain berusia 29 tahun berkenaan merupakan tonggak paling setia dalam skuad Sang Kenari ketika ini memandangkan dia tidak pernah meninggalkan kelab terbabit sejak 2016.

Namun, sekiranya isu itu berulang, dia yang juga dikenali sebagai Worm sudah tentu terpaksa mengibarkan bendera putih dengan mencari majikan baharu pada jendela perpindahan akan datang.

Sebelum Amirul Hisyam, beberapa pemain lain seperti Sony Norde dan Irfan Zakaria merupakan antara yang lantang meminta kebajikan mereka dibela selepas tidak menerima bayaran untuk beberapa bulan.

Pendekatan dibuat seperti masih belum mencetuskan sebarang hasil dengan pihak pengurusan Kedah masih berdiam diri mengenai isu yang melanda kem mereka sejak beberapa bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram