PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengambil mudah insiden pergaduhan antara Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad (10 November).
Dalam insiden itu, Arif Aiman dilihat bertindak di luar kawalan selepas menumbuk pemain Perak FC, Tommy apabila larian bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dihalang.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, kedua-dua pemain tersebut tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
"Kita akan menunggu laporan penuh daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
"Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
"Memang kedua-dua pemain telah dilayangkan kad kuning sejurus insiden tersebut tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM," katanya dalam satu kenyataan FAM pada Isnin.
Tindakan FAM itu turut senada dengan pendapat seorang pemerhati bola sepak yang berharap akan ada tindakan susulan daripada badan induk itu.
Katanya, sebelum ini, FAM melakukan semakan video selepas perlawanan untuk mengenakan hukuman kepada dua pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2018 yang melibatkan Baddrol Bakhtiar dan Liridon Krasniqi.
Kedua-dua pemain itu dikenakan hukuman oleh FAM selepas melihat kembali video perlawanan Liga Super menentang Perak FC pada 2018.
"Ada satu ketika yang mana pemain import Kedah, Liridon, begitu juga Baddrol Bakhtiar mereka ini dihukum.
"Ia selepas komiti disiplin FAM reviu (semula) video, jadi tidak salah kalau untuk insiden yang membabitkan Arif Aiman dan Tommy, pihak terbabit akan buat sedemikian melalui semakan video.
"Ini akan lebih memberikan transparensi kepada semua pihak.
"Kalau sebelum ini Baddrol Bakhtiar boleh kena hukum, Liridon pun sama (kena hukum), kenapa pula Arif Aiman tak boleh kena hukum berdasarkan video," katanya kepada Majoriti.
Namun begitu, menjadi persoalan adakah nasib Arif Aiman sama seperti Baddrol yang hanya dikenakan amaran keras oleh FAM.
Ketika itu, FAM menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2017-2021 pada 21 Mac 2018 menggantung Liridon sebanyak dua perlawanan.
Liridon digantung kerana melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan ganas dengan menyiku di bahagian leher pemain Perak, Leandro Dos Santos Oliveira ketika perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada 7 Februari 2018.
Manakala, Baddrol diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan yang menyinggung ketika perlawanan menentang Perak.
Pada perlawanan itu, Kedah gagal catat kemenangan pertama di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Perak pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram