BERMAIN seolah-olah dibayar gaji setiap bulan. Demikian antara reaksi yang dilontarkan para penyokong selepas kejayaan Kedah Darul Aman (KDA) FC meraih tiga mata ke atas Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super pada Sabtu.
Skuad Sang Kenari berhasil mencatatkan kemenangan di Stadium Darul Aman dekat Alor Setar, Kedah hasil jaringan tunggal dari bek tengah, Cleyton yang menanduk masuk sepakan percuma Sony Norde.
Tiga mata yang diraih Sang Kenari meletakkan kedudukan skuad kendalian Nafuzi Zain di tangga kesembilan dengan 12 mata. Manakala, TFC yang mengutip 17 mata pula berada pada tangga ketiga liga.
BACA LAGI: 'Kami main untuk masa depan', Sony Norde dedah Kedah tetap beri yang terbaik walaupun tak bergaji
BACA LAGI: Jualan tiket lawan TFC rendah, 'signal' buat pengurusan Sang Kenari — Bekas pemain Kedah
Selain kemenangan pertama selepas lima perlawanan itu, taktikal yang diaplikasikan Nafuzi Zain meraih pujian penyokong dengan rata-rata melihat para pemain Kedah bermain dengan motivasi tinggi walaupun masalah dalaman belum selesai sepenuhnya.
Antara pemain yang dilihat memberikan sepenuh jiwa raganya pada aksi berkenaan ialah penjaga gol berpengalaman Hijau Kuning, Ifwat Akmal ekoran kecemerlangannya menepis beberapa percubaan bahaya lawan.
Motivasi memberikan 100 peratus pada aksi bertemu Terengganu itu rupanya sebagai salah satu ikhtiar untuk memberi kesedaran kepada pihak pengurusan untuk mencari solusi menyelesaikan masalah kewangan mereka.
"Kami kerja sungguh-sungguh, kami buat yang habis baik untuk majikan kami. Saya harap majikan kami dapat buat sesuatu, bukan sikit jumlahnya tapi banyak," kata Ifwat memetik petikan video dimuat naik oleh pemerhati bola sepak tanah air, Fadhirul Shuhaimi.
Sesiapa yang mengikuti perkembangan bola sepak tanah air, pasti cakna mengenai kemelut kewangan kem Kedah sehingga menyaksikan insiden beberapa pemain utama memilih untuk memboikot sesi latihan.
Isu kewangan berkenaan bukan hanya memberi kesan kepada kakitangan dan pemain Kedah tetapi turut mempengaruhi kehadiran penyokong ke Stadium Darul Aman apabila sebelum ini jualan tiket perlawanan Kedah menentang Terengganu pada mulanya tidak mendapat sambutan.
Tiga hari sebelum perlawanan berlangsung, sebanyak empat tiket sahaja terjual dengan ia seolah-olah semakin memberi bayangan bahawa kem Sang Kenari sudah hilang kepercayaan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram