
KEDAH DARUL AMAN FC (KDA FC) dikhabarkan akan kehilangan khidmat ketua pasukan, Sony Norde yang dipercayai bakal menyertai kelab Indonesia, Malut United pada bulan depan.
Bekas pemain Terengganu FC itu pastinya berjaya menarik minat pihak pengurusan Malut United semasa aksinya menentang kelab Indonesia itu dalam aksi persahabatan di Alor Setar, Kedah pada Ogos lalu.
Dalam perlawanan persahabatan Piala Nusantara Challenge itu, anak-anak buah Nafuzi Zain tewas dengan keputusan 1-3 dengan gol sagu hati dijaringkan oleh Milos Gordic.
Menerusi posting yang dimuat naik oleh @Palatao Bola dalam Instagram member bayangan Sony akan meninggalkan Sang Kenari pada hujung tahun ini.
Sekiranya perpindahan ini berlaku, Kedah menerima tamparan hebat selepas kehilangan Habib Haroon yang kembali ke Bahrain pada jendela perpindahan kedua Liga Super pada September lalu.
Kemelut isu tunggakan gaji yang melanda kem Kedah sejak awal musim ini mungkin menjadi faktor utama bekas pemain nasional Haiti meninggalkan Sang Kenari demi kebaikan kariernya.
Menyertai Kedah daripada Terengganu musim ini, Sony telah menjaringkan dua gol dan tiga 'assist' dalam 12 penampilan di bawah bimbingan Nafuzi Zain.
Dengan kehilangan Norde ke kelab negara jiran, ia memberikan kesan buat Kedah yang tiada kehilangan kelebihan untuk bersaing di dalam Piala Malaysia 2024/2025.
Untuk info, Kedah musim ini menandatangani enam pemain import iaitu Habib Haroon (Bahrain), Sony Norde (Haiti), Milos Gordic (Serbia), Ebenezer Assifuah (Ghana), Sukhrob Nurullaev (Uzbekistan) dan Cleylton dos Santos (Brazil)
Dengan kehilangan Habib dan Sony, Kedah akan mempunyai empat pemain import untuk mengharungi baki saingan Liga Super serta Piala Malaysia.
Untuk rekod, Kedah musim ini menduduki tangga ke-10 Liga Super dengan empat kemenangan, empat seri dan enam kekalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram