PARA pemain Kedah Darul Aman FC kini akan meneruskan perjuangan mereka dalam Liga Super dengan satu misi iaitu mencari masa depan lebih baik buat karier masing-masing.
Menurut ketua pasukannya, Sony Norde, walaupun mereka terpalit isu gaji yang berpanjangan, skuad Sang Kenari komited untuk meneruskan perjuangan tanpa mengharapkan apa-apa.
Sebagai rekod, para pemain Kedah sudah tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
BACA LAGI: Anggap gol jumpa Kedah yang terbaik, Paulo Josue kekal komited bersama KL City
BACA LAGI: Jualan tiket lawan TFC rendah, 'signal' buat pengurusan Sang Kenari — Bekas pemain Kedah
"Kami ada berbincang antara pemain dan staf, kami bermain untuk masa depan, demi hari esok kami.
"Kami sepakat untuk berikan yang terbaik ketika latihan dan perlawanan tanpa mengharapkan apa-apa daripada penyokong," ujarnya.
Oleh disebabkan itu, Kedah masih lagi menghasilkan persembahan baik dengan mereka berjaya menewaskan Terengganu FC 1-0 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Bagi Norde, Kedah yang kini menduduki tangga kesepuluh Liga Super tidak sepatutnya berada di situ, sebaliknya Sang Kenari perlu berada bersama kelompok atasan yang lain.
"Sebab itu kami berikan yang terbaik ketika menentang Terengganu dan mencapai rancangan yang kami rancang sepanjang minggu untuk perlawanan ini.
"Kedah adalah pasukan besar, tidak seperti kelab yang lebih kecil. Sekarang kami ditangga kesembilan (kesepuluh), tapi Kedah selalu di kedudukan tiga, empat terbaik liga.
Pemain import dari Haiti itu mengakui yang sebelum ini para pemain ada melakukan boikot terhadap sesi latihan supaya tekanan boleh diberikan kepada pihak pengurusan.
Tetapi, usaha itu tidak menjadi sebaliknya mereka nampak pihak pengurusan berusaha untuk membaiki situasi kelab.
"Semua orang tahu mengenai situasi kami. Sebelum ini kami pernah merancang untuk memboikot beberapa kali sesi latihan untuk tengok sama ada ia boleh beri tekanan kepada pihak pengurusan atau tidak.
"Tapi kami sedar yang pengurusan bekerja keras untuk ringankan beban kewangan. Malangnya, mereka juga mengalami kesukaran dan kami tak beroleh apa-apa," ulas Norde. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram