'Doa-doa dia ada kemampuan, jangan scam', Sanusi buka mulut isu pengambilalihan KDA


  • Podium
  • Khamis, 07 Nov 2024

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusan pemilikan KDA FC. — KFA

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap agar syarikat berminat untuk mengambil alih kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC mempunyai kemampuan kewangan untuk menyelesaikan masalah dihadapi pasukan tersebut.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) turut menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan urusan pemilikan KDA FC meskipun syarikat terbabit ada melakukan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din.

BACA LAGI: Kelab pertama bakal miliki hospital sendiri jana pendapatan, DSAT Group terus 'up' tawaran jika miliki Kedah

BACA LAGI: Macam tak jadi ambil Kedah, hasrat DSAT Group alih tumpuan ke Sabah FC juga seakan-akan terbantut

"Kalau dia ada kemampuan, sila. Boleh selesai masalah. Kita harap dia ada kemampuan. Doa-doalah dia ada kemampuan. Jangan 'scam' lah. Belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah. Macam 'scammer' tak bagus lah.

"Dia tiada sangkut paut dan tak perlu kebenaran kita pun, dia berurusan dengan KDA FC. Harap-harap ada sinar di hujung terowong," katanya menerusi satu video apabila diminta mengulas mengenai isu pemilikan KDA FC semasa satu sidang media pada Khamis.

2966253

Skuad KDA FC pada musim ini berdepan dengan masalah kewangan sehingga menganggu prestasi pasukan. — KDA FC

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah pada Khamis.

Isu pengambilalihan KDA FC yang sedang berdepan isu kewangan kembali panas selepas sebuah syarikat DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra dilaporkan berminat untuk memiliki kelab berpangkalan di Utara tersebut.

Pada 3 November lalu, pihak MMC yang diwakili Ketua Pegawai Operasi, Nazar Ahmad Md Noor dikatakan sudah menyerahkan surat tawaran untuk pengambilalihan KDA FC.

Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek memaklumkan pihaknya mahu mengambil alih 100 peratus saham KDA FC dan liabilitinya, tertakluk dengan terma dan syarat perjanjian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram