PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan kontrak barisan kejurulatihan skuad negara yang diketuai Ahmad Jais Baharun dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi sehingga akhir Disember 2025.
Keputusan itu diambil susulan prestasi cemerlang kem sepak takraw negara sepanjang musim 2024 termasuk kejayaan muncul sebagai juara acara regu dan double di Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, Mei lalu, lapor Stadium Astro.
Kejayaan berganda turut direkodkan Ahmad Jais dengan membawa pulang gelaran juara acara regu dan naib juara berpasukan Piala Raja Thai, September lalu.
BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC
BACA LAGI: Tonggak import Sang Penyu hampir tinggalkan kelab, gagal capai kata putus kontrak
Di bawah kendalian Ahmad Jais (belakang,kanan), skuad negara berjaya bergelar juara dalam acara regu dan double Kejohanan Piala Dunia Mei lalu.
"Apabila kita mengekalkan barisan ini bermakna sasaran mereka berjaya dicapai dan mereka juga merupakan satu pasukan yang bagus kerana mereka sentiasa membuat perbincangan bersama pihak pengurusan terlebih dahulu sekiranya ingin membuat apa-apa keputusan.
"Kita juga sentiasa berbincang tentang kaedah bagaimana kita mampu meningkatkan kualiti pasukan tidak kira pemain lama ataupun baharu.
“Saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 ini menyaksikan ramai barisan muda yang memiliki potensi besar untuk diketengahkan dan diambil kira untuk dibawa masuk ke dalam senarai pasukan kebangsaan," tambahnya lagi.
Bagaimanapun, misi besar bakal menanti Ahmad Jais dan tiga pembantunya, Aswadi Abdullah, Ahmad Zain dan Zulkarnain Arif menjelang tahun depan yang membabitkan tiga kejohanan penting iaitu Piala Asia, Piala Raja Thai dan temasya Sukan SEA Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram