SKUAD Harimau Malaya menerima tamparan apabila terpaksa berdepan kenyataan bahawa mereka tidak akan dapat menggunakan khidmat dua pemain tengah, Natxo Insa dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Mukhairi Ajmal Mahadi dari Selangor FC, untuk perlawanan persahabatan menentang Laos dan India kerana masalah kecederaan.
Insa dan Mukhairi mengalami kecederaan semasa perlawanan mereka di peringkat Asia minggu lalu.
Pemain berusia 38 tahun, Insa, diturunkan dalam perlawanan menentang Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), manakala Mukhairi, 23, beraksi menentang Jeonbuk Hyundai Motors dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).
BACA LAGI: Keserasian bersama Kim Swee antara 3 sebab Stuart Wilkin patut kekal di Sabah
BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC
Ketua jurulatih sementara Harimau Malaya, Pau Marti Vicente nyata kecewa dengan perkembangan tersebut.
“Kecederaan adalah bahagian paling sukar dalam pemilihan pemain. Kedua-dua pemain telah dinilai dan dipilih lebih awal, tetapi mereka kembali dengan kecederaan pada pertengahan minggu.
“Mukhairi terpaksa kembali ke kelabnya akibat kecederaan, manakala Natxo mengalami kekejangan otot dan adalah berisiko untuk menyenaraikannya. Dia sangat teruja untuk bermain," kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Pemain sayap Kelantan Darul Naim, Fazrul Amir antara yang dipanggil ke skuad Harimau Malaya. — Facebook/FAM
"Ketiadaan Insa pastinya akan dirasai, kerana dia dijangka menjadi tonggak utama di bahagian tengah berikutan prestasi cemerlangnya dalam ACLE baru-baru ini.
“Kami semua merindui Natxo. Dia pemain yang sangat hebat. Dia telah menunjukkan tahap permainannya di Asia. Saya rasa sedih kerana kami tidak dapat membawa dia untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan ini,” ujarnya lagi.
Susulan itu, Vicente terpaksa memanggil pemain dari senarai simpanan untuk menggantikan Insa dan Mukhairi dengan membawa masuk pemain sayap Kelantan Darul Naim FC, Fazrul Amir Md Zaman dan pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya.
“Kami sudah memantau Fazrul selama dua tahun, tetapi kami tidak pernah berpeluang untuk menurunkannya.
“Zhafri pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan sebelum ini, tetapi tidak diberi peluang bermain. Dia memang layak untuk beraksi dan saya harap kali ini saya dapat memberi dia penampilan pertama," ujarnya lagi.

Harimau Malaya terpaksa menelan kepahitan apabila mereka tumpas 0-4 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini.
Malaysia akan menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok pada Khamis sebelum berlepas ke India untuk bertemu pasukan India di Gachibowli, Hyderabad empat hari kemudian.
Vicente berharap agar Malaysia dapat mencatat kemenangan tempat lawan pertama mereka sejak 21 November 2023.
Kemenangan terakhir Malaysia di tempat lawan adalah ketika menewaskan Taiwan 1-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 pusingan kedua.
“Dua perlawanan yang berbeza, dua pendekatan yang berbeza. Kami bermain menentang Laos sebagai persediaan untuk Piala AFF Mitsubishi, manakala menentang India adalah untuk kelayakan Piala Asia 2027 pusingan ketiga tahun depan.
“Kekalahan 0-4 kepada New Zealand dalam perlawanan persahabatan terakhir tidak boleh dilupakan. Kami perlu ingat permainan itu untuk penambahbaikan.
“Kami tidak dapat mengawal persekitaran semasa perlawanan tempat lawan. Ada faktor seperti cuaca, stadium, kemudahan, makanan dan perkara-perkara lain yang perlu dihadapi. Kami perlu mengatasi semua itu," katanya. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
