TIADA angin tiada ribut, nama tonggak tengah Sabah FC, Stuart Wilkin mencuri tumpuan penyokong Borneo itu apabila dikhabarkan akan meninggalkan kelab tersebut dalam masa terdekat.
Ia berikutan selepas satu hantaran yang dikongsikan di laman Facebook mendedahkan bahawa kontraknya bersama Sabah FC akan tamat pada 30 November 2024.
"Kontrak Stuart Wilkin akan tamat pada 30 November ini, belum ada sebarang kenyataan dari pihak pengurusan Sabah FC untuk sambung kontrak pemain ini.
"Difahamkan, ada kelab yang sudah mengintai pemain tersebut selepas kontraknya tamat terutamanya dari kelab Selangor FC," tulisnya.
BACA LAGI: Tonggak import Sang Penyu hampir tinggalkan kelab, gagal capai kata putus kontrak
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan lama, 3 jurulatih import bawa 'malang' buat Selangor, Penang dan Terengganu
Bersama Sabah FC, Wilkin menampilkan persembahan yang cukup memukau apabila membantu pasukan itu meraih kemenangan empat kali berturut-turut dalam liga musim ini ketika bertemu Perak FC, Penang FC, Kedah Darul Aman dan Kelantan Darul Naim.
Kehebatan Wilkin mengawal bahagian tengah permainan tidak lagi perlu dipertikai oleh penyokong Selangor kerana terbukti ketika bersama Sabah FC dan skuad kebangsaan.
Musim ini, pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan tiga gol dalam 11 penampilan bersama Sabah dengan mencatatkan 740 minit permainan.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya ada desas-desus yang kini bertebaran di media sosial mengatakan bahawa skuad Gergasi Merah dijangka mahu membawa masuk pemain kesayangan Sang Badak itu.
Dengan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami Noor Al-Rawabdeh, Wilkin antara bintang sesuai untuk menggantikan ketiadaan pemain kebangsaan Jordan itu pada musim depan.
Meskipun begitu, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan Sabah mengenai khabar angin tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram