Mungkin hilang Stuart Wilkin di tangan Selangor, 3 pemain sesuai ganti jeneral Sang Badak


  • Podium
  • Selasa, 12 Nov 2024

Stuart Wilkin (tengah) cemerlang dalam membantu Sabah FC melakar sejarah peribadi apabila merekod hatrik dalam membuat hantaran bantuan ketika bertemu Kelantan Darul Naim FC.

BARU-BARU ini, kem Sabah FC bertiup kencang apabila difahamkan tonggak tengah Sang Badak, Stuart Wilkin diintai oleh salah sebuah pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang.

Khabar angin yang kini bertebaran di media sosial itu tercetus selepas kontrak tonggak tengah The Rhinos tersebut difahamkan akan tamat pada 30 November 2024.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya ada desas-desus yang mengatakan bahawa Selangor FC dijangka mahu membawa masuk pemain kesayangan Sang Badak itu.

BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC

BACA LAGI: Fans Perak anggap kalah sudah dalam tangan, 'ekor' JDT ingatkan jangan bagi alasan bila kecundang

Meskipun belum mahu melepaskan khidmat pemain berusia 26 tahun itu namun penyokong Sang Badak perlu reda dengan keputusan yang bakal diambil oleh pemain Harimau Malaya tersebut sekiranya kontraknya tidak disambung.

Oleh itu, penyokong Sang Badak tidak perlulah bersedih kerana terdapat tiga pemain yang boleh menggantikan posisi Wilkin.

1. Nazmi Faiz

Sebut sahaja Nazmi Faiz, sudah pasti ramai penyokong tanah air mengenali pemain senior Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Begitupun, persaingan sengit dalam pasukan Harimau Selatan menyaksikan pemain kelahiran Shah Alam, Selangor itu hanya memanaskan bangku simpanan JDT apabila sekadar merekodkan 419 minit permainan musim ini.

Dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan, Nazmi pastinya tidak akan mensia-siakan peluang sekiranya diberi kesempatan untuk berhijrah ke Sabah sebagai pemain pinjaman.

WhatsApp Image 2024-11-11 at 17.34.33

Nazmi Faiz kini hanya banyak memanaskan bangku simpanan.

Keputusan itu dilihat mampu memberi ruang baginya untuk terus aktif bermain, terutamanya dengan pasukan seperti Sabah yang memerlukan pemain berpengalaman.

Sabah dianggap sebagai destinasi yang ideal bagi Nazmi memandangkan hubungan baik antara kedua-dua pasukan dalam urusan peminjaman pemain.

Kehadiran Nazmi ke dalam skuad Sang Badak dijangka dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wilkin, sekali gus mampu membantu The Rhinos dengan pengalaman yang dimiliki sepanjang kariernya di JDT.

2. ⁠Mukhairi Ajmal

Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal, dilihat sebagai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan posisi Wilkin.

Ini kerana, meskipun beraksi bersama skuad Gergasi Merah, pemain berketinggian 1.80 meter itu kurang mendapat peluang beraksi sebagai kesebelasan utama.

WhatsApp Image 2024-11-11 at 17.34.32

Mukhairi Ajmal kini dilihat kurang diberi peluang untuk beraksi bersama Selangor FC.

Sekiranya Mukhairi membuat keputusan berhijrah ke pasukan Borneo, dia pastinya akan memanfaatkan peluang tersebut untuk membuktikan kemampuannya sebagai pemain tengah yang berkualiti.

Dengan usianya yang masih muda, Mukhairi mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal yang mampu menyokong jentera tengah Sang Badak.

Ini merupakan peluang yang baik untuk Mukhairi menggantikan Wilkin di Sabah, terutamanya sekiranya tonggak tengah The Rhinos itu memilih untuk menyertai Selangor FC pada musim hadapan.

3. ⁠Paulo Josue

Sudah tiba masanya bagi penyerang Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue untuk mencari peluang baharu bersama kelab lain.

Meskipun sudah berusia 35 tahun, kecemerlangan dan konsistensinya sebagai penyerang prolifik terus menjadi kekuatan utama pemain kelahiran Brazil tersebut.

Sepanjang bersama The City Boys, Josue telah meledak 11 gol dalam saingan domestik musim ini.

WhatsApp Image 2024-11-11 at 17.34.32 (1)

Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue berdepan isu tunggakan gaji bersama KL City FC.

Oleh itu, Josue dilihat sebagai pengganti yang sesuai untuk Wilkin pada musim depan.

Dengan keupayaan kreatifnya, Josue juga memiliki kelebihan dalam menjaringkan gol melalui sepakan percuma menjadikannya pemain yang berpotensi untuk memberikan impak besar.

Bukan itu sahaja, Josue kini perlu mencari kelab baharu berikutan isu tunggakan gaji yang kini dihadapi oleh pasukan Lembah Klang itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram