SELEPAS kehilangan dua pemain tengah, Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi, skuad Harimau Malaya selagi lagi berdepan detik malang apabila terlepas khidmat penyerang naturalisasi, Romel Morales.
Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi satu kenyataan yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di laman Facebook pada Isnin.
"Pemain Chonburi FC, Fergus Tierney yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.
BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC
BACA LAGI: Reunion Amri-Sabah, aksi sengit Pahang-Selangor jadi tumpuan undian Piala Malaysia
Fergus Tierney menggantikan Romel Morales.
"Fergus, 21, menggantikan Romel Morales yang tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super 2024 menentang Perak FC.
"Semoga Romel cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.
Susulan pengumuman itu, ramai penyokong tidak berpuas hati dengan pemilihan penyerang Chonburi tersebut kerana berasakan ada lagi pemain yang wajar dipanggil.
Menurut mereka, penyerang JDT II, Gabriel Nistelrooy antara pemain tempatan yang wajar diberi peluang untuk mendapatkan caps bersama skuad kebangsaan.
Ini kerana, pemain berusia 24 tahun itu membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila kini mengungguli takhta penjaring terbanyak Piala MFL 2024/2025.
"Fergus sudah dapat call-up senior, harap lepas ini Gabriel Nistelrooy keluar dari zon selesa dan loan ke mana-mana kelab, nak juga dengan Harimau Malaya ada penyerang lokal tulen," kata Aiman Mirza.
"Gabriel Nistelrooy tak kena panggil ke? Dengarnya dia penjaring terbanyak Piala MFL sekarang," kata Yun Okunio.
"Kenapa bukan Gabriel Nistelrooy yang dapat call-up?,semoga dia dapat peluang akan datang," kata Egu Isma.
Meskipun tidak berada dalam Senarai Bersedia, nama penyerang kelahiran Sarawak itu disebut-sebut kerana penyokong cukup kagum akan prestasinya dalam Piala MFL.
Pada masa sama, empat pemain Johor Darul Ta'zim yang lain iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Mohd Hanapi telah melapor diri dan akan menyertai sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram